Malaysia Akan Ketengahkan Inisiatif Bandar Digital Pada Ekspo Bandar Pintar KL 2025
Daripada Nurul Jannah Kamaruddin
BARCELONA, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia merancang untuk mengetengahkan Inisiatif Bandar Digitalnya, yang akan dilancarkan pada awal tahun depan di Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025, mempamerkan perkhidmatan digital yang inovatif dan pendekatan bukti konsep yang telah dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil berkata pelannya adalah untuk memulakan Inisiatif Bandar Digital di enam bandar pada 2025, mewujudkan gelombang besar transformasi bandar digital di Malaysia.
Beliau berkata dengan Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur akan menjadi platform penting untuk kerjasama serantau, seterusnya menyokong visi negara untuk menjadi hab bandar digital terkemuka di ASEAN.
“Tempoh acara itu serentak dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, yang akan menarik minat pemimpin dan pentadbir bandar di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel di Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar 2024 (SCEWC 2024) mengenai ‘Smart City Expo and Tomorrow Editions Abroad: A Global Conversation Throughout the Year’ yang diadakan semalam.
Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menganjurkan Ekspo Bandar Pintar pada 17 hingga 19 September 2025.
Anuar Fariz berkata Malaysia mengalu-alukan lebih 2,000 delegasi dan 10,000 pengunjung, sekurang-kurangnya 20 peratus daripadanya adalah dalam kalangan antarabangsa.
Acara ini juga akan menjadi pemangkin kepada perjanjian perdagangan melalui pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) serta meluaskan peluang untuk pemain industri tempatan.
“Perkara paling penting ialah kami melihat ini sebagai peluang untuk mempromosikan kepimpinan Malaysia pada skala global dalam inovasi teknologi dan pembangunan bandar pintar.
“Oleh itu, saya menggalakkan anda untuk menyokong dan memperjuangkan visi ini dalam kita bekerjasama untuk memacu masa depan digital Malaysia,” katanya.
SCEWC 2024 dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dari 850 bandar, dengan lebih 1,146 pempamer dan 600 penceramah dari 5 hingga 7 November ini, untuk memajukan bandar ke arah masa depan yang lebih baik dalam aspek mobiliti, perumahan, jaringan, keselamatan dan bangunan.
-- BERNAMA