BERITA TERKINI   81 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terjejas banjir kembali beroperasi – Fahmi | Banjir: 267 stesen pemancar terjejas banjir kembali pulih setakat 9 pagi tadi – Fahmi | Jemaah Menteri meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan di Parlimen minggu depan - Fahmi | MyDigital ID: PM beri masa dua minggu, cari solusi isu berbangkit -- Fahmi | Rangkaian 5G Kedua: DNB diminta bentang pelan perniagaan kepada MCMC -- Fahmi | 

TNB Terajui Matlamat Malaysia Ke Arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 mencerminkan komitmen bukan sahaja terhadap sasaran iklim global tetapi juga kepada pembangunan mampan dan ekonomi yang berdaya tahan.

Usaha ini lebih daripada sekadar keperluan alam sekitar berikutan ia melambangkan peluang penting untuk Malaysia berinovasi, menarik pelaburan hijau dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.

Mencapai sasaran ini memerlukan usaha menyeluruh dalam pelbagai sektor, dengan sektor pengangkutan - menjadi penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau - memainkan peranan penting dalam peralihan ini.

Menerima penggunaan kenderaan elektrik (EV) penting untuk menyahkarbon sektor pengangkutan berikutan EV mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti udara dengan ketara.

Sebagai syarikat tenaga terkemuka yang mengambil langkah proaktif melalui kerjasama strategik dan pembangunan infrastruktur, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sentiasa komited untuk menyokong agenda negara ke arah penggunaan tenaga yang bersih dan mampan.

Komitmen ini bukan sahaja merangkumi penjanaan tenaga boleh baharu tetapi juga menggalakkan penyelesaian pengangkutan yang lebih bersih melalui pembangunan ekosistem pengecasan EV yang komprehensif.

 

KOMITMEN TERHADAP KEMAMPANAN 

TNB telah lama mengiktiraf kepentingan kemampanan dan penyahkarbonan dalam strategi operasinya.

Ia telah menetapkan matlamat kemampanan yang lebih luas termasuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasinya dan menggalakkan kecekapan tenaga selain meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dengan ketara dan melabur dalam projek solar, angin dan hidroelektrik.

Pembangunan ekosistem pengecasan EV yang komprehensif penting kepada strategi jangka panjang TNB berikutan ia bertujuan menyokong pengangkutan yang lebih bersih dan meningkatkan kebolehcapaian EV.

Kerjasama dengan pihak berkepentingan utama, termasuk agensi kerajaan, syarikat automotif dan penyedia teknologi, memacu penggunaan EV.

Ini penting dalam menggalakkan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong jumlah EV di jalan raya yang meningkat, mengukuhkan peranan TNB sebagai peneraju dalam bidang peralihan tenaga (ET).

TNB menyasarkan untuk melabur kira-kira RM90 bilion dalam tempoh lima tahun dari 2025 hingga 2030, dalam grid nasional, iaitu RM35 bilion akan dibelanjakan untuk pelaburan berkaitan ET manakala baki RM54 bilion untuk bukan ET.

Ia turut menyasarkan untuk menggantikan 30 peratus daripada kenderaannya dengan EV menjelang 2030, berjumlah lebih 1,000 unit sebagai sebahagian daripada strategi pengurangan karbon secara keseluruhannya.

Peralihan ini dijangka menjana pengurangan tahunan sebanyak 2,200 hingga 4,833 tan karbon dioksida, bersamaan dengan kira-kira 88,000 hingga 193,320 pokok sebagai pengimbang karbon menjelang 2030.

 

PLATFORM DIGITAL TINGKATKAN PERALIHAN TENAGA 

Melengkapkan inisiatif infrastrukturnya, TNB memanfaatkan platform digital untuk menyelaraskan pengalaman pengecasan EV.

Selain itu, platform pengecasan EV TNB dan pasaran digital memudahkan akses kepada penyelesaian tenaga hijau, membolehkan pengguna terlibat dalam pengagregatan dan perdagangan tenaga.

Inisiatif digital ini adalah sebahagian daripada strategi ET yang lebih luas, menyepadukan teknologi inovatif untuk menggalakkan ekosistem tenaga yang lebih mampan.

TNB, melalui anak syarikatnya TNBX, membolehkan pemilik EV 'memuat semula, menempah dan mengecas semula' di pusat pengecasan EV yang tersenarai dalam aplikasi GO TO-U (GTU).

Pengguna boleh menempah pusat pengecasan sehingga tujuh hari lebih awal untuk mengelak barisan menunggu serta dapat mencari pengecas, menempah tempat dan membuat pembayaran – semua dalam satu untuk pengalaman aplikasi yang lancar.

Dengan menjadikan pengecasan EV lebih mudah, TNB bukan sahaja meningkatkan pengalaman pengguna tetapi turut menggalakkan peralihan kepada EV.

 

MEMBINA EKOSISTEM PENGECASAN EV

Di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus kenderaan elektrifikasi (xEV) daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030.

Malaysia turut menyasarkan untuk mencatatkan 38 peratus xEV menjelang 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040, dengan 10,000 pusat pengecasan menjelang 2025 (terdiri daripada 9,000 unit arus ulang-alik dan 1,000 unit arus terus (DC)).

Sehingga 30 Sept 2024, jumlah xEV di Malaysia mencatatkan 33,319 unit, mewakili kira-kira 5.0 peratus daripada TIV.

xEV termasuklah kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid pemalam (PHEV),  kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

Bagi memastikan rangkaian itu bersedia untuk menyokong permintaan terhadap pengecasan EV, TNB merancang untuk meningkatkan infrastruktur pengecasan EV dengan 200 pusat pengecasan di seluruh negara sebagai menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Kumpulan utiliti itu turut memperkenalkan "laluan lorong hijau", inisiatif yang membantu mempercepatkan proses pendaftaran dan kelulusan, sekali gus melancarkan lagi pembangunan dan operasi pusat data di Malaysia.

Langkah ini akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk peningkatan kapasiti dan pembinaan dengan ketara, membolehkan pengendali pengecasan mempercepatkan pemasangan stesen pengecasan EV mereka.

 

KERJASAMA MEMACU PERTUMBUHAN 

Usaha TNB untuk mewujudkan rangkaian pengecasan EV yang semakin berkembang di Malaysia menekankan kepentingan kerjasama.

Syarikat telah mencatatkan pencapaian penting dengan pelancaran dua stesen pengecasan EV TNB Electron baharu di Petron Selising, Kelantan dan Petron Kampung Gemuroh, Terengganu baru-baru ini, dengan kerjasama Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd.

Stesen yang terletak di lokasi strategik ini bukan sahaja untuk memberikan perkhidmatan kepada kawasan bandar tetapi turut menghubungkan komuniti luar bandar dan pinggir bandar, menggalakkan pembangunan infrastruktur yang saksama dan meluaskan capaian EV di luar bandar-bandar utama.

Usaha TNB tidak terhad kepada dua stesen ini sahaja. Syarikat giat meneruskan kerjasama tambahan dengan rakan kongsi strategik seperti Plus Malaysia Bhd, Aeon Mall, BHPetrol dan agensi kerajaan untuk meluaskan lagi ekosistem pengecasan EV.

Pendekatan kerjasama ini memastikan TNB dapat mewujudkan kemudahan pengecasan di lokasi yang mudah dan boleh diakses oleh pengguna yang pelbagai, termasuk mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh.

TNB tekad dalam misinya untuk menyokong penggunaan tenaga bersih dan percaya bahawa masa depan yang lebih hijau dan mampan dapat dicapai melalui usaha bersama.

Dengan kemajuan dalam teknologi dan infrastruktur EV, TNB memberi laluan kepada penggunaan EV yang meluas di Malaysia, memastikan persekitaran yang lebih bersih untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA