BERITA TERKINI   ASEAN pertimbang rakan dialog baharu yang mampu beri tambah nilai kepada blok serantau itu - Mohamad Hasan | Mohamad Hasan akan ke Myanmar pada September sebagai strategi libat urus berterusan ASEAN | Kemasukkan Timor-Leste ke dalam ASEAN: AMM ke-58 galakkan negara itu segera ambil langkah sertai instrumen undang-undang berkaitan - Mohamad Hasan | Kejayaan penganjuran AMM ke-58 bukti ASEAN dihormati, mendapat kepercayaan kuasa besar dunia - Mohamad Hasan | Malaysia gesa Israel dipertanggungjawabkan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa – Mohamad Hasan | 
Ad Banner
Ad Banner

Azam Jaya Tingkatkan Kepakaran Di Tapak Bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pakar infrastruktur jalan raya, Azam Jaya Bhd merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada kontraktor luar dengan mengendalikan lebih banyak projek menggunakan sumbernya, terutama bagi projek Lebuhraya Pan Borneo.

Pengarah Gantian Johannes Lo berkata pihaknya menyasar untuk melaksanakan lebih banyak projek dalaman sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat.

“Kami sedang menambah kumpulan jentera pembinaan kami dan, yang paling penting, menerima guna teknologi termaju untuk meningkatkan produktiviti di tapak, memaksimumkan kecekapan, dan meminimumkan kos,” katanya semasa sidang media penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam melangkah maju, Azam Jaya merancang untuk membida tender bagi kerja-kerja tambahan di Lebuhraya Pan Borneo.

“Terutama di negeri Sabah. Kami tahu fasa dua dan tiga akan dilaksanakan tidak lama lagi, kami bersedia untuk memenuhinya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Datuk Jessica Lo menyatakan keyakinan terhadap potensi syarikat untuk berkembang melangkaui pasaran terasnya di Sabah.

“Kita ada perancangan terutama membabitkan Kalimantan dan Sarawak. Pada masa ini, kami tidak menyasarkan Semenanjung Malaysia, kerana pasaran di sini mempunyai ramai pesaing.

“Jika ada margin yang baik, kami pasti akan mempertimbangkannya. Usaha menggerakkan jentera kami ke sana (Kalimantan dan Sarawak) tidak akan menjadi terlalu rumit,” katanya.

Saham Azam Jaya dibuka pada RM1, premium 22 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada  78 sen, dengan 5.12 juta saham bertukar tangan apabila mula disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia hari ini.

-- BERNAMA