Sektor Pembinaan Kekal Pertumbuhan Positif, Naik 22.9 Peratus Kepada RM41.1 Bilion Pada Suku Ketiga - DOSM
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sektor pembinaan terus mengekalkan momentum dengan pertumbuhan positif pada 22.9 peratus, mencapai RM41.1 bilion pada suku ketiga 2024 berbanding peningkatan 20.2 peratus, berjumlah 38.9 bilion pada suku kedua 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata momentum pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pengembangan sebanyak 42.6 peratus dalam subsektor aktiviti pertukangan khas, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang tinggi.
“Selain itu, subsektor bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing turut menunjukkan momentum dengan peningkatan sebanyak 27.8 peratus dan 27.7 peratus.
“Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam juga berkembang pada kadar yang lebih sederhana tetapi masih menyumbang secara positif dengan kadar pertumbuhan 12.0 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai statistik pembinaan suku tahunan Malaysia, suku ketiga 2024 hari ini.
Mohd Uzir berkata daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM41.1 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2024, sejumlah RM15.2 bilion atau 36.9 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.8 bilion) dan projek utiliti (RM6.2 bilion).
“Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.6 peratus) dan RM9.4 bilion (22.8) peratus.
“Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.8 bilion (11.6 peratus), terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.3 bilion); pemasangan elektrik (RM1.2 bilion); dan pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1.0 bilion),” katanya.
Sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku ketiga 2024, menyumbang RM26.1 bilion atau 63.5 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan, manakala sektor awam, dengan sumbangan 36.5 peratus berjumlah RM15.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 8.1 peratus.
Mengulas mengenai sektor pembinaan mengikut negeri pada suku ketiga 2024, Mohd Uzir berkata hampir 61.4 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.
Beliau berkata nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM9.3 bilion atau 22.7 peratus, Johor (RM6.9 bilion atau 16.9 peratus), Wilayah Persekutuan (RM4.6 bilion atau 11.3 peratus) manakala Sarawak mencatatkan RM4.3 bilion (10.5 peratus).
“Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi tiga suku pertama 2024, sektor ini mencatatkan jumlah nilai sebanyak RM116.8 bilion, dengan peningkatan 19.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 (suku pertama-suku ketiga 2023:9.0 peratus).
“Pertumbuhan positif ini didorong terutamanya oleh sumbangan kukuh daripada aktiviti kejuruteraan awam yang berkembang sebanyak 20.3 peratus,” katanya.
-- BERNAMA