BERITA TERKINI   81 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terjejas banjir kembali beroperasi – Fahmi | Banjir: 267 stesen pemancar terjejas banjir kembali pulih setakat 9 pagi tadi – Fahmi | Jemaah Menteri meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan di Parlimen minggu depan - Fahmi | MyDigital ID: PM beri masa dua minggu, cari solusi isu berbangkit -- Fahmi | Rangkaian 5G Kedua: DNB diminta bentang pelan perniagaan kepada MCMC -- Fahmi | 

Sarawak Diunjur Catat Pertumbuhan 5-6 Peratus Pada 2024 -- Abang Johari

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Sarawak diunjur mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus pada 2024 berikutan permintaan luar yang kukuh, peningkatan aktiviti dalam negeri dan tekanan inflasi yang berkurangan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus untuk menjadi pemacu pertumbuhan utama dan ini disumbang terutamanya daripada sektor pelancongan yang mencatatkan kenaikan 21.4 peratus dalam perniagaan dan ketibaan pelancong dari Januari hingga September 2024.

“Pengembangan aktiviti perdagangan, khususnya dalam pengangkutan, logistik, perkhidmatan kewangan, dan insurans, juga memperlihatkan usaha Sarawak untuk mengukuhkan asas ekonominya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sarawak di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata sektor perlombongan dijangka pulih dengan pertumbuhan diunjurkan pada 2.3 peratus, didorong oleh peningkatan pengeluaran gas asli, termasuk projek baharu seperti lapangan gas Jerun dan Kasawari, yang juga dijangka memberi impak positif kepada pembuatan sektor.

“Pengeluaran gas asli cecair (LNG) diunjur meningkat, didorong oleh permintaan daripada rakan dagangan utama seperti Jepun dan China, mendorong sektor pembuatan mencatatkan kadar pertumbuhan 5.2 peratus,” katanya.

Mengenai sektor pertanian, Abang Johari berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Sarawak menunjukkan peningkatan 1.7 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, didorong oleh permintaan kukuh dari India dan China, dan diunjur meneruskan trajektori menaik, menyumbang kepada anggaran pertumbuhan dua peratus.

“Pembinaan kekal sebagai salah satu sektor paling kukuh di Sarawak dengan unjuran pertumbuhan 8.7 peratus. Lonjakan ini, disokong oleh peningkatan 26.6 peratus dalam nilai pembinaan pada separuh pertama 2024, mencerminkan peranan kritikal sektor itu dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri,” katanya.

Dari segi permintaan, aktiviti perdagangan telah memperkukuh daya tahan ekonomi Sarawak, dengan jumlah perdagangan meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM115.6 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, apabila eksport mencatatkan peningkatan 6.6 peratus, disokong oleh eksport LNG dan petroleum mentah, manakala import berkembang sebanyak 3.5 peratus. 

Abang Johari berkata pelaburan kekal menjadi keutamaan dalam strategi ekonomi Sarawak, dengan RM6.84 bilion pelaburan swasta direkodkan pada separuh pertama 2024, terutamanya dalam industri pembuatan, elektrik dan elektronik serta logam asas.

“Pelaburan awam diunjur berkembang sebanyak enam peratus, disokong oleh RM9 bilion dalam peruntukan negeri dan RM5.8 bilion dalam pembiayaan persekutuan, memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dan penambahbaikan infrastruktur,” katanya.

Abang Johari berkata semakan gaji kakitangan awam, yang berkuat kuasa Disember ini, dijangka meningkatkan penggunaan awam kerana penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, bantuan kewangan dan inflasi yang stabil.

“Ekonomi Sarawak dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya pada 2025, dengan unjuran pertumbuhan lima hingga enam peratus yang sama. Tinjauan ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk memupuk kepelbagaian ekonomi dan kebolehsuaian dalam menghadapi dinamik ekonomi global,” katanya.

-- BERNAMA