Unit Destini Peroleh Kontrak Penyenggaraan Kelengkapan Pesawat Bernilai RM33.05 Juta
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Destini Bhd menerusi anak syarikatnya, Destini Prima Sdn Bhd (DPSB) berjaya memperoleh kontrak bernilai RM33.05 juta daripada Kementerian Pertahanan untuk menyediakan perkhidmatan penyenggaraan bagi peralatan keselamatan dan survival kelengkapan pesawat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata kontrak tiga tahun itu bermula hari ini hingga 10 Nov, 2027.
“Syarikat juga diminta menyediakan bon prestasi sebanyak RM550,800 serta melaksanakan ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) – Ready to Work’ dan kos ditanggung oleh DPSB,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu tersebut berkata, kontrak baharu itu melonjakkan nilai perolehan kontrak melebihi RM800 juta yang sekali gus meningkatkan aliran pendapatan kumpulan sehingga 2027.
Pengarah Eksekutif Destini Bhd Ismail Mustaffa berkata kontrak berkenaan dijangka membawa kesan positif kepada prestasi kewangan Destini, menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan dan mengukuhkan aset bersih bermula pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025, serta sepanjang tempoh kontrak.
“Nilai perolehan kontrak syarikat semasa kami meningkat kepada kira-kira RM824 juta manakala nilai tender dianggarkan kira-kira RM777 juta.
“Kontrak ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kumpulan untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam penyenggaraan dan keselamatan aset kritikal tentera udara,” katanya.
-- BERNAMA