BERITA TERKINI   81 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terjejas banjir kembali beroperasi – Fahmi | Banjir: 267 stesen pemancar terjejas banjir kembali pulih setakat 9 pagi tadi – Fahmi | Jemaah Menteri meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan di Parlimen minggu depan - Fahmi | MyDigital ID: PM beri masa dua minggu, cari solusi isu berbangkit -- Fahmi | Rangkaian 5G Kedua: DNB diminta bentang pelan perniagaan kepada MCMC -- Fahmi | 

Pembinaan Komuniti China-Malaysia Dengan Masa Depan Bersama Capai Tahap Baharu – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan Komuniti China – Malaysia dengan Masa Depan Bersama kini mencapai tahap baharu.

Dalam wawancara eksklusif bersama People's Daily Online semasa lawatan kerjanya di Shanghai, China baru-baru ini, Anwar berkata bahawa Malaysia bersedia memperluas pertukaran kepakaran dan kemahiran dengan China dalam bidang perdagangan, pelaburan, komunikasi, ekonomi digital, dan pendidikan untuk  memperkukuh kerjasama.

“Pembinaan komuniti Malaysia dan China dengan masa depan bersama telah memuncak dalam tempoh setahun lalu. 

Kerjasama Malaysia-China meningkat secara menyeluruh dan strategik,” katanya dan berharap kedua-dua negara terus mewujudkan peluang kerjasama baharu. 

Dalam rangka lawatan rasmi Anwar ke China pada Mac tahun lepas, pemimpin kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan untuk membina pembinaan Komuniti China – Malaysia dengan Masa Depan Bersama.

Perkembangan ini menandakan lembaran baharu dalam sejarah hubungan dua hala.

Anwar yakin bahawa pembinaan Komuniti China - Malaysia dengan Masa Depan Bersama, yang berlandaskan rasa saling hormat, mempunyai titik pertemuan yang jelas dengan konsep Malaysia MADANI yang diketengahkan Kerajaan Malaysia.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik China dan Malaysia, Anwar berkata hubungan kedua-dua negara telah mengekalkan momentum kerjasama yang baik.

Lawatan Anwar ke China kali ini antaranya untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE). Malaysia ialah satu daripada negara tetamu kehormat untuk ekspo itu.

Mengulas mengenai ekspo itu, Anwar menyatakan penglibatan dalam CIIE memberikan peluang kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran China.

Beliau berkata ekspo itu bukan sahaja memaparkan pencapaian China malah ia juga menawarkan ruang dan peluang kepada syarikat dari negara membangun termasuk Malaysia untuk mempromosikan produk masing-masing, sekali gus menjadi wadah baharu untuk meneroka kerjasama.

Menyentuh usaha China menggalakkan keterbukaan dan mengejar pemodenan, Anwar menyambut baik komitmen China dan menegaskan bahawa pencapaian China dalam  merealisasikan pembangunan dengan mengekalkan identiti sendiri dan berkongsi hasilnya dengan dunia membawa pelbagai peluang baharu untuk pembangunan.

ASEAN juga memanfaatkan pengalaman dan kekuatan China, termasuk dari segi teknologi baharu, digital, tenaga hijau, kata Anwar.

Anwar berkata beliau akan memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025  untuk memperkukuh hubungan ASEAN dan China  serta mengukuhkan sinergi dengan China khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

--BERNAMA