KL Jadi Tuan Rumah Forum Perniagaan Antarabangsa ‘World Of Opportunities: Russia-ASEAN’
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Forum Perniagaan Antarabangsa “World of Opportunities: Russia-ASEAN” dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 27 Nov, 2024 bertujuan mengukuhkan kedudukan pemain ekonomi utama di rantau ini.
Yayasan Roscongress dalam satu kenyataan berkata forum tersebut akan menjadi platform penting untuk perbincangan selain liputan meluas mengenai pengukuhan hubungan perdagangan serta pelaburan di antara Rusia dan ASEAN.
Katanya, forum ini akan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi cabaran global dengan membina perkongsian serta projek yang boleh dilaksanakan bersama bagi memacu pembangunan sosio-ekonomi Rusia dan negara-negara ASEAN.
"Ia juga akan menghimpunkan lebih daripada 200 wakil daripada perniagaan sederhana dan besar, persatuan perniagaan selain struktur kerajaan dari Rusia, Malaysia serta negara-negara ASEAN.
"Tumpuan khusus akan diberikan kepada kerjasama pertanian dengan perbincangan mengenai keselamatan makanan, bekalan baja dan pertukaran teknologi pertanian," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Yayasan Roscongress Alexander Stuglev berkata forum berkenaan merupakan sebahagian daripada projek antarabangsa baharu yayasan tersebut iaitu "World of Opportunities" yang membuka platform perniagaan utama Rusia kepada rakan kongsi luar negara.
"Program forum perniagaan ini secara tradisinya merangkumi sesi tematik, perbincangan dan dialog perniagaan mengenai pelbagai topik.
"Pemimpin tertinggi dari Malaysia serta ketua pegawai eksekutif syarikat utama dari Rusia dan negara-negara ASEAN turut dijemput sebagai penceramah untuk sesi pleno dan perbincangan tematik," katanya.
-- BERNAMA