Sarawak Terima FDI RM31.8 Bilion Dalam Industri Teknologi Tinggi Daripada 2019-2023
KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM31.8 bilion untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, kimia serta logam hijau bagi tempoh 2019 hingga 2023.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata sebanyak 10 projek pelaburan tersebut telah dilaksanakan setakat ini.
“Projek industri berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan berjumlah RM9.3 bilion bagi lima projek elektrik dan elektronik, tiga projek kimia dan dua projek logam hijau.
“Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sarawak sebagai hab aeroangkasa dan semikonduktor,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Razaili Gapor (GPS-Beting Maro) mengenai status FDI yang diterima Sarawak dalam industri berteknologi tinggi.
Sementara itu, Mussen berkata bagi mempercepat pembangunan dalam menyokong industri berteknologi tinggi, kementerian itu sedang membangunkan Polisi Pelaburan Sarawak untuk membentuk strategi dan pelan tindakan dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Kerajaan Sarawak juga menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi teknikal, pusat penyelidikan dan pengajian tinggi serta industri khusus seperti semikonduktor dan aeroangkasa bagi memacu inovasi dan pembangunan teknologi,” katanya.
-- BERNAMA