BERITA TERKINI   81 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terjejas banjir kembali beroperasi – Fahmi | Banjir: 267 stesen pemancar terjejas banjir kembali pulih setakat 9 pagi tadi – Fahmi | Jemaah Menteri meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia untuk dibentangkan di Parlimen minggu depan - Fahmi | MyDigital ID: PM beri masa dua minggu, cari solusi isu berbangkit -- Fahmi | Rangkaian 5G Kedua: DNB diminta bentang pelan perniagaan kepada MCMC -- Fahmi | 

Untung Bersih Suku Ketiga MISC Susut Kepada RM338.90 Juta

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd susut kepada RM338.90 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM430.40 juta pada suku ketiga 2023.

Hasil berkurangan 11 peratus kepada RM2.96 bilion, daripada RM3.37 bilion sebelum itu, disebabkan pengiktirafan hasil yang berkurangan daripada penukaran unit penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) daripada segmen perniagaan luar pesisir serta kadar pengangkutan yang rendah dan pendapatan dalam segmen penghantaran petroleum dan produk dalam suku itu. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MISC mengaitkan hasil yang rendah itu daripada segmen perniagaan luar pesisir berikutan kemajuan projek yang lebih perlahan.

"Segmen itu mencatatkan kerugian dalam operasi sebanyak RM33.2 juta berbanding keuntungan operasi RM58.1 juta pada suku ketiga 2023," katanya.

Sementara itu, syarikat itu berkata hasil daripada segmen penghantaran petroleum dan produk juga turun berikutan kerugian terjemahan mata wang daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS pada suku dalam tinjauan.

Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept, 2024, MISC mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.64 bilion berbanding RM1.50 bilion pada tempoh yang sama pada 2023.

Hasil bagaimanapun turun kepada RM9.93 bilion berbanding RM9.99 bilion disebabkan keuntungan yang lebih rendah dalam perniagaan luar pesisir.

"Bagi segmen aset dan penyelesaian gas juga mencatatkan keuntungan yang rendah berikutan pendapatan dan kadar sewaan yang rendah, ditambah kos operasi kapal yang lebih tinggi," katanya. 

MISC juga mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak lapan sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, dengan tarikh kelayakan ditetapkan pada 28 Nov 2024 dan perlu dibayar pada 17 Dis 2024.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata pendapatan daripada segmen penghantaran petroleum dan produk dijangka kekal stabil, disokong oleh penyewaan barisan kapal-kapalnya untuk tempoh jangka panjang dan potensi untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran dagangan semerta.

"Prospek jangka sederhana bagi segmen perniagaan luar pesisir kekal positif, disokong oleh harga minyak yang stabil, dengan projek di Amerika Selatan, Afrika Barat dan rantau Asia Pasifik memacu permintaan untuk unit FPSO binaan baharu," katanya.

Melangkah ke hadapan, segmen perniagaan luar pesisirnya akan sentiasa mengejar peluang baharu dalam pasaran sambil mengekalkan tumpuan yang kukuh pada penyiapan projek sedia ada tepat pada masanya dan cekap untuk mengurangkan potensi lebihan kos, kata MISC.

-- BERNAMA