KBBM: Nilai Jualan Naik 103.2 Peratus Kepada RM5.5 Bilion 2023
PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pada 2023 menunjukkan peningkatan 103.2 peratus berbanding 2022 dengan nilai jualan sebanyak RM5.5 bilion.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Adiratno Che Ani berkata pencapaian memberangsangkan itu didorong oleh penglibatan rakan-rakan strategik.
Beliau berkata lonjakan prestasi itu juga membuktikan sokongan rakyat Malaysia terhadap produk tempatan semakin kukuh.
"Dengan wujudnya sokongan daripada rakan-rakan strategik KPDN, sudah pasti kempen ini berupaya untuk membangunkan industri tempatan supaya lebih berkembang maju dan dapat memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan selaras dengan objektif KBBM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian program KBBM dengan rakan strategik AEON BiG (M) Sdn Bhd di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif AEON BiG Takanori Komatsu.
Adiratno turut menyeru rakan strategik KPDN untuk terus mempromosikan produk tempatan di premis masing-masing dan membudayakan kempen KBBM secara sukarela dengan mengutamakan penembusan pasaran produk tempatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke pasaran.
Selain itu, beliau berkata promosi KBBM perlu dipergiat di platform fizikal seperti meletakkan produk Malaysia di rak-rak eksklusif, pemberian baucar bagi pembelian produk tempatan dan memanfaatkan platform dalam talian bagi memperkenalkan produk tempatan kepada rakyat dan masyarakat luar negara.
Dalam pada itu, Adiratno berkata AEON BiG dan AEON Co (M) Bhd turut serta dalam melaksanakan KBBM selepas hampir dua tahun tidak terlibat dalam kempen tersebut.
Beliau berkata pencapaian AEON Co pada 2021 berjaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.34 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU) manakala AEON BiG pada 2022 mencatatkan nilai jualan RM1.1 juta bagi 356 SKU.
"Hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KKBM ini menunjukkan bahawa AEON amat komited dalam membantu produk para usahawan tempatan untuk terus dipasarkan di rangkaian pasar raya besar ini," katanya.
-- BERNAMA