BERITA TERKINI   Gempa bumi di Jepun: Rakyat Malaysia diminta mendaftar kehadiran mereka dengan Kedutaan Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan - Wisma Putra | Tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda timur laut Jepun pada Isnin - Wisma Putra | Orkim Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama, tidak berubah pada 92 sen seperti harga IPOnya, dengan 5.40 juta saham diniagakan | Kehadiran Orkim dalam logistik maritim dan pengangkutan tenaga menyokong keselamatan tenaga negara - Amir Hamzah | Keyakinan pelabur yang kukuh dan peluang wujud untuk syarikat yang bersedia memanfaatkan ketelusan, tadbir urus dan pertumbuhan mampan - Amir Hamzah | 
Ad Banner

Eksport Minyak Sawit Dijangka Naik 2.4 Peratus Kepada 17.3 Juta Tan Pada 2025 - MPOB

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 17.30 juta tan pada 2025 berbanding 16.90 juta tan pada 2024, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata hasil eksport komoditi itu dijangka tumbuh sebanyak 9.8 peratus kepada RM120 bilion dalam 2025 daripada RM109.33 bilion pada 2024. 

“Meneliti keadaan di Indonesia dan permintaan minyak sawit yang stabil, kita berharap eksport minyak sawit pada tahun ini akan meningkat,” katanya dalam pembentangan di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2025 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Ahmad Parveez berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka turut meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 19.5 juta tan pada 2025 daripada 16.90 juta tan pada tahun lepas.

Selain itu, keseluruhan stok minyak sawit susut sebanyak 6.4 peratus kepada 1.60 juta tan daripada 1.70 juta tan pada 2024.

Beliau juga mengunjurkan harga purata MSM dalam julat RM4,000-RM4,300 satu tan pada 2025, didorong oleh bekalan yang lebih terhad di peringkat global.

“Ini berikutan pelaksanaan mandat biodiesel B40 di Indonesia yang dijangka mengurangkan bekalan minyak sawit global bagi tujuan pasaran eksport.

“Permintaan bagi biodiesel di Amerika Syarikat dijangka meningkat dan menyebabkan bekalan minyak sayuran global lebih terhad,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta agensinya akan terus bekerjasama rapat untuk menangani kebimbangan berkaitan alam sekitar selain menggalakkan kestabilan ekonomi serta tanggungjawab sosial dalam industri itu.

Langkah sedemikian, katanya, akan mendorong kepada masa depan lebih mampan serta seimbang bagi industri minyak sawit.

-- BERNAMA