BERITA TERKINI   Kejayaan pemulihan aset ini bukti keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah - SPRM | Jumlah pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah RM29,752,034,475.13 iaitu 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan - SPRM | 341 pengamal media terima manfaat Tabung Kasih@Hawana sejak diperkenal pada April 2023 - Fahmi | KLIA disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia dalam kaji selidik ASQ 2024 untuk lapangan terbang yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang setahun - MAHB | Sistem pemilihan ePlacement akan ditukar daripada kaedah berdasarkan pendaftaran terawal kepada sistem berasaskan merit yang lebih telus - KP Kesihatan | 
Ad Banner

FMM, ASEAN BAC Malaysia Kongsi 12 Inisiatif Bagi Tahun Kepengerusian ASEAN Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menganjurkan taklimat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia untuk berkongsi 12 inisiatif utama bagi tahun kepengerusian ASEAN Malaysia kepada lebih 40 organisasi perniagaan.

Antara perkongsian tersebut termasuklah Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) - inisiatif utama oleh ASEAN-BAC Malaysia - yang mencadangkan agar negara anggota ASEAN menawarkan fleksibiliti operasi kepada syarikat berpangkalan di ASEAN, khususnya mengenai pergerakan bakat, modal dan penyumberan luar.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata perlu ada kategori perniagaan untuk ASEAN, selain tempatan dan asing, supaya syarikat yang bertapak di pasaran ASEAN dapat beroperasi dengan mudah dan mengelak cabaran pemecahan yang dihadapi perniagaan yang cuba berkembang di rantau ini.

Ad Banner

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata perniagaan adalah rakan penting dalam membentuk masa depan ASEAN.

“Kami menyedari akan kepentingan kritikal kerjasama serantau dan sumbangan penting sektor swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan integrasi yang lebih mendalam di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Sesi libat urus itu disertai peneraju industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari pelbagai sektor di seluruh Malaysia, termasuk automotif, pemprosesan makanan, aluminium, plastik, sarung tangan getah, tekstil, besi dan keluli, bahan kimia dan penghantaran barang.

Ad Banner

Para peserta membangkitkan pelbagai isu di ASEAN antara lainnya seperti halangan bukan tarif, kurangnya piawaian yang diselaraskan, sekatan pegangan saham asing dan percambahan piawaian baharu.

ASEAN-BAC Malaysia menyatakan komitmennya untuk membawa isu-isu ini semasa dialog dasarnya di peringkat serantau apabila mengadakan perundingan sebagai mewakili sektor swasta ASEAN pada 2025.

-- BERNAMA