BERITA TERKINI   Kejayaan pemulihan aset ini bukti keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah - SPRM | Jumlah pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah RM29,752,034,475.13 iaitu 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan - SPRM | 341 pengamal media terima manfaat Tabung Kasih@Hawana sejak diperkenal pada April 2023 - Fahmi | KLIA disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia dalam kaji selidik ASQ 2024 untuk lapangan terbang yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang setahun - MAHB | Sistem pemilihan ePlacement akan ditukar daripada kaedah berdasarkan pendaftaran terawal kepada sistem berasaskan merit yang lebih telus - KP Kesihatan | 
Ad Banner

Gas Malaysia Catat Untung Bersih Lebih Tinggi RM441.39 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM441.39 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2024 berbanding RM383.40 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya keuntungan yang meningkat ini disumbangkan terutamanya oleh jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, margin sumbangan gas asli purata yang tinggi dan fi tol yang juga lebih tinggi manakala sebahagiannya lagi diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, perolehan merosot kepada RM8.04 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM8.08 bilion sebelumnya.

Ad Banner

“Ini berikutan harga jualan purata gas asli yang lebih rendah, diimbangi oleh jumlah jualan gas asli yang tinggi dan bayaran tol yang meningkat,” katanya.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, Gas Malaysia mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM112.71 juta berbanding RM104.33 juta dalam tempoh sama pada tahun kewangan 2023.

Syarikat turut mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM2.06 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2024 berbanding RM1.80 bilion sebelumnya berikutan jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, margin sumbangan gas asli yang lebih tinggi dan fi tol yang lebih tinggi, yang sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang meningkat.

Ad Banner

“Lembaga pengarah hari ini mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 9.60 sen sesaham ke atas 1.28 bilion saham biasa berjumlah RM123.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 yang akan dibayar pada 25 April 2025,” katanya.

Mengenai prospek, Gas Malaysia berkata kumpulan itu tetap berdedikasi untuk melaksanakan langkah berhemat bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengekalkan daya saing dan meneroka peluang bagi pengembangan perniagaan.

"Melalui strategi ini, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan mencatatkan prestasi memuaskan untuk tahun kewangan 2025 di samping mengekalkan unjuran berhati-hati berikutan potensi ketidaktentuan pasaran," katanya.

-- BERNAMA