BERITA TERKINI   Maldives teguh bersama Palestin dalam perjuangan kemerdekaannya dengan Jerusalem sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan pra-1967 - Presiden Muizzu | Maldives berminat teroka inisiatif bersama Malaysia, khususnya dalam industri halal dan ekonomi digital - Presiden Maldives | Dasar visa Malaysia untuk pelajar Maldives dan keluarga, jadikan Malaysia destinasi pilihan pendidikan tinggi - Presiden Maldives. | Malaysia menyokong Maldives yang lantang bersuara menggesa masyarakat antarabangsa mengutamakan perlindungan alam sekitar - PM Anwar | 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar setakat pertengahan April - Mohamad | 
Ad Banner
Ad Banner

MSM Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan Ketika Perang Dagangan Meningkat

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

 

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan dalam julat antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Ad Banner

Menurutnya ini berikutan perang perdagangan global yang semakin meningkat yang dimulakan oleh Amerika Syarikat.

“Pemain pasaran terus berhati-hati dan akan kekal tidak memasuki pasaran berikutan lebih banyak perang perdagangan membabitkan tarif dijangka berlaku pada beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata dari segi permintaan fizikal, China, India, Pakistan dan beberapa negara dari Timur Tengah dan Kesatuan Eropah kekal sebagai pembeli.

Ad Banner

Menurutnya tiada kekurangan bekalan dari Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran dijangka diniagakan dalam keadaan stabil yang disokong oleh asas kukuh.

“Ini termasuk kadar pengeluaran yang lebih perlahan setakat ini, yang akan memastikan paras stok keseluruhan di negara ini kekal rendah.

“Kami menjangkakan harga berada dalam julat RM4,400 hingga RM4,650 satu tan minggu depan,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mac 2025 merosot RM120 kepada RM4,750 satu tan, April 2025 susut RM30 kepada RM4,694 satu tan dan Mei 2025 berkurangan RM49 kepada RM4,576 satu tan.

Sementara itu, kontrak Jun 2025 rendah RM32 kepada RM4,474 satu tan, Julai 2025 susut RM14 kepada RM4,375 satu tan dan Ogos 2025 menyusut RM5 kepada RM4,304 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 480,548 lot daripada 471,778 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 248,014 kontrak daripada 242,153 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan rendah RM50 kepada RM4,850 satu tan.

-- BERNAMA