BERITA TERKINI   Maldives teguh bersama Palestin dalam perjuangan kemerdekaannya dengan Jerusalem sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan pra-1967 - Presiden Muizzu | Maldives berminat teroka inisiatif bersama Malaysia, khususnya dalam industri halal dan ekonomi digital - Presiden Maldives | Dasar visa Malaysia untuk pelajar Maldives dan keluarga, jadikan Malaysia destinasi pilihan pendidikan tinggi - Presiden Maldives. | Malaysia menyokong Maldives yang lantang bersuara menggesa masyarakat antarabangsa mengutamakan perlindungan alam sekitar - PM Anwar | 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar setakat pertengahan April - Mohamad | 
Ad Banner
Ad Banner

Unit Rohas Tecnic Jual Keseluruhan 30 Peratus Pegangan Dalam Firma Vietnam Pada RM87.14 Juta

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Rohas Tecnic Bhd, RBC Water Sdn Bhd, menandatangani kertas terma ikatan dengan Korea Water Resources Corp (K-Water) untuk menjual keseluruhan 30 peratus kepentingan ekuiti dalam Phu My Vinh Construction and Investment Corp (PMV) pada RM87.14 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Rohas Tecnic menjelaskan kertas terma itu bertempoh dari 14 Mac, 2025 serta akan kekal sah dan berkuat kuasa sehingga 30 April, 2025.

“Peruntukan dalam kertas terma tersebut bertujuan digunakan sebagai asas bagi pihak-pihak untuk memeterai perjanjian penjualan saham muktamad bagi cadangan penjualan itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh kuat kuasa berdasarkan terma yang akan dimuktamadkan oleh pihak-pihak,” jelasnya.

Ad Banner

Cadangan penjualan itu dijangka membolehkan Rohas Tecnic memanfaatkan nilai pelaburannya dalam PMV dan menjana pulangan segera sekali gus mengukuhkan kedudukan tunai dan fleksibiliti kewangan.

“Langkah strategik ini akan membolehkan syarikat meneruskan inisiatif pertumbuhan dan pelaburan baharu yang meningkatkan nilai pemegang saham bagi jangka masa panjang,” tambahnya.

PMV telah ditubuhkan di Vietnam pada 7 Julai, 2005 sebagai syarikat saham bersama.

Ad Banner

Aktiviti utama PMV termasuk pelaburan, pembinaan, dan operasi loji rawatan air dan sistem bekalan.

Setakat 13 Mac, 2025, sebagai tarikh terbaru pengumuman boleh laksana, modal saham terbitan PMV adalah 491 bilion dong Vietnam, yang terdiri daripada 49,100,000 saham biasa.

K-Water ialah syarikat milik penuh kerajaan Korea Selatan, bertanggungjawab untuk pembangunan dan pengurusan sumber air di Korea Selatan.

Aktiviti utama K-Water melibatkan pembinaan, operasi, dan pengurusan kemudahan air, kerja-kerja air, kompleks perindustrian, zon tujuan khas, sistem kumbahan, dan kemudahan tenaga boleh baharu.

Modal saham terbitan K-Water adalah kira-kira RM35.16 bilion.

-- BERNAMA