BERITA TERKINI   Maldives teguh bersama Palestin dalam perjuangan kemerdekaannya dengan Jerusalem sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan pra-1967 - Presiden Muizzu | Maldives berminat teroka inisiatif bersama Malaysia, khususnya dalam industri halal dan ekonomi digital - Presiden Maldives | Dasar visa Malaysia untuk pelajar Maldives dan keluarga, jadikan Malaysia destinasi pilihan pendidikan tinggi - Presiden Maldives. | Malaysia menyokong Maldives yang lantang bersuara menggesa masyarakat antarabangsa mengutamakan perlindungan alam sekitar - PM Anwar | 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar setakat pertengahan April - Mohamad | 
Ad Banner
Ad Banner

Borong Dinobat Syarikat Kedua Pesat Berkembang Di Asia Pasifik Oleh Financial Times

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Borong, sebuah syarikat e-perolehan teknologi dan e-pasaran perniagaan ke perniagaan tempatan, telah dinobatkan sebagai syarikat kedua yang berkembang paling pesat di rantau Asia Pasifik dalam senarai Financial Times High-Growth Companies Asia-Pacific 2025.

Penarafan berprestij ini yang mendapat kerjasama Statista mengiktiraf syarikat-syarikat yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tertinggi dalam pendapatan dari 2019 hingga 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, Borong berkata ia merupakan syarikat Malaysia yang meraih kedudukan tertinggi dalam senarai tahun ini dan satu daripada hanya tujuh syarikat dari Malaysia tersenarai dalam kalangan 500 syarikat berprestasi tinggi di 13 ekonomi Asia Pasifik.

Ad Banner

Syarikat-syarikat lain termasuk dari Jepun, Korea Selatan, India, Singapura, Australia, dan banyak lagi, memberi tumpuan kepada syarikat yang mencapai prestasi luar biasa dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi.

“Senarai ini merupakan penanda aras bagi kejayaan keusahawanan di rantau ini.  Syarikat-syarikat dipilih berdasarkan data bebas dan metodologi yang ketat yang menilai CAGR, pertumbuhan pendapatan mutlak, dan ketelusan.

"Dengan pengiktirafan terkini, Borong menyertai barisan peneraju serantau yang mentakrifkan semula cara perniagaan dijalankan di Asia Pasifik," kata kenyataan itu.

Ad Banner

Ditubuhkan pada 2017, Borong bermula dengan misi untuk mendigitalkan rantaian bekalan tradisional bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang kurang mendapat perhatian.

Dengan hanya meraih hasil berjumlah US$300,000 (US$1= RM4.43) pada awal penubuhannya, Borong sejak itu berkembang pesat untuk memperoleh hasil lebih US$51.33 juta pada 2023, satu pencapaian CAGR yang luar biasa.

"Walaupun asas syarikat ini adalah untuk memperkasakan peruncit dan pemborong tradisional, Borong juga telah menjadi rakan kongsi rantaian bekalan digital yang dipercayai oleh syarikat multinasional besar dan syarikat Fortune 500 seperti Petroliam Nasional Bhd, Nestle, Shell, dan jenama global lain," katanya.

-- BERNAMA