BERITA TERKINI   Ramanan dipilih sebagai Naib Presiden baharu PKR | Pemilihan PKR: Amirudin Sahri, Aminuddin Harun, Chang Lih Kang pertahan jawatan Naib Presiden | Pemilihan PKR: Fahmi Fadzil menang jawatan Majlis Pimpinan Pusat | Pemilihan PKR: Nurul Izzah Anwar menang jawatan Timbalan Presiden, peroleh 9,803 undi | PM Anwar diumum secara rasmi pertahan jawatan Presiden PKR, menang tanpa bertanding | 
Ad Banner
Ad Banner

Panasonic Anggar Kerugian Tiga Peratus Berikutan Kebakaran Di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Gangguan bekalan gas akibat kebakaran di Putra Heights dijangka memberi kesan kepada pengeluaran produk-produk kipas dan seterika elektrik Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) dengan anggaran kehilangan pendapatan kira-kira tiga peratus.

PMMA melalui satu makluman kepada Busa Malaysia berkata kerugian pendapatan ini berdasarkan kepada jumlah pendapatan untuk tahun kewangan yang lalu. 

Syarikat itu telah diberitahu oleh Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd bahawa gangguan bekalan, yang memberi kesan kepada kilang pembuatan PMMA di Shah Alam, dijangka berterusan sehingga 20 April 2025. 

"Bagaimanapun, operasi yang membabitkan produk-produk lain seperti pembersih vakum, mandian rumah dan lain-lain tidak terjejas," katanya. 

Pengarah Urusan PMMA Takashi Sugihara berkata syarikat itu telah mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan dan melaksanakan langkah-langkah kontingensi untuk mengekalkan operasi kritikal bagi produk-produk ini dalam menjamin gangguan rantaian bekalan menjadi minimum.

"Kami sedang menguruskan gangguan yang berpotensi secara proaktif untuk rantaian bekalan dan penghantaran pelanggan kami. 

Ad Banner
Ad Banner

"Kami telah melaksanakan langkah-langkah yang mantap bagi mengurangkan impak operasi dan meneroka sumber bekalan gas alternatif untuk memastikan kami terus memenuhi komitmen selain berrtujuan memulihkan kehilangan pendapatan sebaik sahaja operasi dipulihkan," katanya. 

Setelah menutup tahun kewangan pada 31 Mac 2025, PMMA berkata ia hanya menjangkakan kesan minimum daripada gangguan bekalan gas ke atas operasi keseluruhan atau prestasi kewangan kumpulan pada tahun kewangan baharu. 

-- BERNAMA