BERITA TERKINI   Keupayaan PKR dapat diangkat menerusi barisan kepimpinan baharu parti - PM Anwar | TPM Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, barisan kepimpinan baharu | Perkembangan positif dalam usaha Timor-Leste sertai ASEAN - Pegawai Kanan Filipina | 
Ad Banner
Ad Banner

Altel Digital Akan Sediakan Infrastruktur Bagi Perkhidmatan Satelit, Komunikasi

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Altel Digital Integrated Sdn Bhd akan menyediakan infrastruktur perkhidmatan satelit dan komunikasi dalam tempoh 24 bulan akan datang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Khoo Yuen Hing berkata pihaknya akan mewujudkan dua stesen bumi, dua pusat telemetri pengesanan dan perintah (TT&C), pusat data penggunaan dan sebuah rangkaian penentu kedudukan PPP-RTK yang komprehensif.

“Kami akan menyediakan beberapa infrastruktur ini secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Altel Digital di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan pelancaran itu.

Khoo berkata Altel Digital telah mengenal pasti jurang dan segmen pasaran yang boleh diatasi dengan tumpuan strategik kepada Internet Pelbagai Benda (IoT), penentu kedudukan ketepatan tinggi, pautan satelit, jalur lebar dan penyelesaian terus ke peranti melalui Geesatcom.

Altel Digital ialah usaha sama 51:49 peratus antara Altel Group Sdn Bhd dan Zhejiang Geespace Technology Co Ltd (Geespace) yang berpangkalan di Shanghai.

Ad Banner
Ad Banner

Syarikat usaha sama itu memberi tumpuan kepada perkhidmatan satelit dan komunikasi, memanfaatkan Geely Constellation atau Geesatcom iaitu rangkaian komunikasi satelit orbit rendah bumi (LEO) global untuk mewujudkan sistem perkhidmatan dan penggunaan komunikasi bersepadu.

Sistem itu menggabungkan rangkaian satelit dan terestrial untuk menawarkan kesalingbungan yang lancar di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Khoo berkata Altel Digital menyasar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis penyedia tempatan Malaysia bagi perkhidmatan satelit LEO, memanfaatkan teknologi satelit LEO termaju daripada Geespace di samping melindungi kepentingan dan keselamatan negara.

Beliau berkata perkongsian itu akan memberi tumpuan kepada bidang penggunaan penting termasuk kesalinghubungan satelit LEO, IoT satelit, kedudukan ketepatan tinggi dan pembangunan infrastruktur bumi setempat.

Operasi komersial akan bermula tahun ini, dengan penyelesaian dirancang untuk sektor maritim, pertanian, pengangkutan dan tenaga.

-- BERNAMA