BERITA TERKINI   Pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan AS di Washington semalam berlangsung dengan amat baik - PM Anwar | Malaysia-Rusia teroka kerjasama lebih luas, termasuk pemindahan teknologi berkaitan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk pemantauan bencana - TPM Ahmad Zahid | BRICS: Malaysia berharap untuk bekerjasama sebagai negara rakan dan meneroka bidang kerjasama khusus yang baharu - PM Anwar | Malaysia dan Rusia dijangka tandatangan MoU mengenai Kerjasama Pengurusan Bencana akhir tahun ini - TPM Ahmad Zahid | Malaysia akan terus menjalin kerjasama secara konstruktif dengan AS, China, Kesatuan Eropah, India dan negara lain dalam memacu kepentingan negara - PM Anwar | 
Ad Banner

Prasarana, UNGCMYB Perkenal Platform Digital Bantu Lebih 5,000 PKS

PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Prasarana Malaysia akan melancarkan platform digital khusus, iaitu  Vendor ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) Hub, bagi menyokong lebih 5,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Prasarana dalam mendapatkan latihan, peralatan dan sumber berkaitan amalan kemampanan.

Platform digital tersebut yang dijadualkan dilancarkan pada Ogos ini merupakan hasil kerjasama dengan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata inisiatif ini menyasarkan untuk memperkasakan ekosistem pengangkutan awam agar seiring dengan agenda kemampanan nasional.

Vendor ESG Hub oleh Prasarana merupakan yang kedua seumpamanya di Malaysia selepas Petronas.

“Latihan yang diberikan akan membantu PKS membina asas-asas ESG, termasuk keupayaan untuk menyediakan laporan kemampanan,” katanya semasa majlis menandatangani kerjasama antara Prasarana dan UNGCMYB bagi mempromosikan amalan perniagaan mampan hari ini.

Azharuddin berkata kerjasama ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan berterusan berdasarkan Pelan Tindakan Kemampanan Prasarana yang dilancarkan pada Disember 2023.

“Di bawah pelan ini, kami menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus melalui penggunaan bas elektrik, dengan 250 buah bas dijangka diterima menjelang akhir tahun ini.

“Kami juga berhasrat untuk mencapai 100 peratus barisan bas elektrik menjelang 2037, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak lima peratus menerusi sistem solar untuk kenderaan elektrik (EV), serta menaja pemasangan 40 lampu jalan solar di Kampung Kerdas, Gombak,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada penyesuaian dengan amalan ESG, pembukaan LRT3 (Laluan Shah Alam) pada akhir tahun ini akan dilengkapi dengan pencahayaan LED pintar yang diselaraskan mengikut cahaya matahari serta sistem penyaman udara yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 32 peratus.

Ia juga akan mempunyai kemudahaan yang dipasang solar atas bumbung pada masa depan, katanya.

-- BERNAMA