BERITA TERKINI   Pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan AS di Washington semalam berlangsung dengan amat baik - PM Anwar | Malaysia-Rusia teroka kerjasama lebih luas, termasuk pemindahan teknologi berkaitan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk pemantauan bencana - TPM Ahmad Zahid | BRICS: Malaysia berharap untuk bekerjasama sebagai negara rakan dan meneroka bidang kerjasama khusus yang baharu - PM Anwar | Malaysia dan Rusia dijangka tandatangan MoU mengenai Kerjasama Pengurusan Bencana akhir tahun ini - TPM Ahmad Zahid | Malaysia akan terus menjalin kerjasama secara konstruktif dengan AS, China, Kesatuan Eropah, India dan negara lain dalam memacu kepentingan negara - PM Anwar | 
Ad Banner

MIGHT Lancar Empat Laporan Strategik Bimbing Pembuat Dasar, Pelabur Dan Pemain Industri

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) melancarkan empat laporan industri strategik yang bertujuan membimbing pembuat dasar, pelabur dan pemain industri dalam mengenal pasti peluang, risiko serta strategi pengurangannya.

MIGHT dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 hari ini berkata laporan berkenaan berfungsi sebagai penanda aras dan rujukan strategik bagi pihak berkepentingan industri.

 Laporan itu juga menawarkan analisis pasaran, data komprehensif dan penilaian mendalam terhadap aliran semasa.

“Ia merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh MIGHT dalam membentuk pembangunan sektor teknologi tinggi Malaysia yang melibatkan pihak berkepentingan pelbagai peringkat, analisis situasi dan penilaian dasar,” katanya.

Majlis pelancaran laporan itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Sebanyak empat laporan dilancarkan iaitu Laporan Industri Mobiliti Udara Maju (AAM), Laporan Menjelajah Sempadan Angkasa Malaysia 2024/2025, Laporan Teknologi dan Inovasi Aeroangkasa 2025/2026 serta Laporan Industri Pembinaan dan Pembaikan Kapal Malaysia (SBSR) 2025/2026.

Sementara itu, Pengerusi Bersama MIGHT (Industri) Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali berkata teknologi utama dalam sektor maritim seperti reka bentuk kapal mesra alam, integrasi tenaga boleh baharu dan kapal hijau semakin menjadi keperluan untuk kelestarian, kecekapan serta daya saing di peringkat global.

“Pada 2023, sektor SBSR menjana pendapatan sebanyak RM4.4 bilion merangkumi sumbangan daripada limbungan kapal, pembuatan marin, perkhidmatan penyelenggaraan dan reka bentuk.

“Sementara itu, nilai tempahan dalam sektor ini mencecah RM12 bilion bagi pembinaan kapal dan RM1 bilion bagi kerja-kerja pembaikan sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh,” katanya.

Sebaliknya Ahmad Tajuddin berkata Laporan Industri AAM menekankan potensi strategik mobiliti udara generasi akan datang dalam pengangkutan awam, keselamatan negara, perkhidmatan kecemasan dan logistik.

Bagaimanapun, laporan itu juga mengenal pasti cabaran utama termasuk rangka kerja kawal selia yang ketinggalan zaman, jurang infrastruktur selain kekangan bakat tempatan.

“Tumpuan utama kami iaitu mengatasi halangan ini supaya Malaysia dapat muncul sebagai peneraju serantau dalam sektor AAM,” katanya.

Menurut MIGHT, laporan berkenaan memberikan pandangan yang lebih jelas mengenai landskap pasaran merangkumi saiz industri, kadar pertumbuhan, daya saing dan penanda aras prestasi, seterusnya mengurangkan ketidakpastian dalam perancangan strategik.

“Melalui metodologi penyelidikan yang teliti dan terangkum, MIGHT kekal komited untuk memberikan pandangan mendalam yang berpandangan jauh bagi mengukuhkan ekosistem teknologi tinggi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA