BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | Anwar akui GST efisien dan telus namun belum sesuai dilaksanakan kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah | 
Ad Banner

Ringgit Ditutup Lebih Tinggi Berikutan Kebimbangan Terhadap Dasar Fiskal AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama serta serantau pada Jumaat berikutan dolar AS kekal lemah di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap dasar fiskal AS.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.2285/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2705/2765 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tindakan Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang menyeluruh telah menyebabkan kebimbangan terhadap prospek kredit AS.

“Ini sepadan pula dengan penurunan penarafan kredit berdaulat kerajaan AS oleh Moody’s Ratings baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama ketika ditutup.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7072/7153 daripada 5.7212/7292 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.7985/8053 daripada 4.8218/8286 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9502/9546 daripada 2.9768/9812.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2891/2940 daripada 3.3061/3110 semalam, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9744/13.0012 daripada 13.0000/0254 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.68/7.69.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 260.7/261.1 daripada 261.5/262.0.

-- BERNAMA