BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | 
Ad Banner
Ad Banner

ASEAN : Manfaatkan Geo-Ekonomi, Kurangkan Jurang KDNK Dengan Blok Global - NCCIM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu memanfaatkan inisiatif strategik seperti Pasukan Petugas Geo-ekonomi ASEAN dan Perjanjian Rangka Kerja  Ekonomi Digital (DEFA) bagi mengurangkan jurang ekonominya dengan blok global utama seperti Kesatuan Eropah (EU).

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk Dr A T Kumararajah memberitahu Bernama, rantau ASEAN dengan gabungan populasinya sebanyak 680 juta orang yang melebihi EU pada masa ini mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira US$4 trilion berbanding EU US$20 trilion.

 “ASEAN masih belum dapat merealisasikan potensi geo-ekonomi sepenuhnya walaupun mempunyai kekuatan demografi.

“Inilah sebabnya penubuhan Pasukan Tugas Geo-ekonomi ASEAN menjadi langkah penting sebagai mekanisme respons strategik, termasuk dalam menghadapi tekanan luar seperti tarif unilateral oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini," katanya sebagai mengulas ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April lepas telah meluluskan penubuhan Pasukan Petugas Geo-ekonomi ASEAN untuk menilai risiko dan peluang daripada perubahan dagangan global semasa.

Selain itu, DEFA yang dijangka menjadi perjanjian ekonomi digital pertama dunia merangkumi seluruh wilayah, bertujuan menyepadukan Asia Tenggara sebagai wilayah inovatif, saling beroperasi dan menerima pelaburan dalam era digital.

Setakat ini, DEFA masih di peringkat perundingan dengan negara-negara anggota menyasarkan perjanjian itu dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Kumararajah berkata Malaysia bertindak lebih awal dengan menubuhkan pasukan petugas geo-ekonominya beberapa hari selepas AS mengumumkan tarif timbal balas pada 2 April.

Malaysia juga sedang berkongsi model itu dengan ASEAN dalam usaha menangani gangguan perdagangan global yang lebih luas secara kolektif.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan tumpuan ASEAN menjalin kerjasama lebih erat dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang memberi peluang pertumbuhan signifikan.

Justeru, beliau menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kalinya diadakan dan berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur sebagai paparan pengaruh blok yang semakin berkembang dalam aturan global yang multipolar.

Dari segi skala KDNK, platform ASEAN-GCC-China adalah setara dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Regional (RCEP) serta mampu menjadi enjin pertumbuhan penting.

“Sidang kemuncak tiga pihak ini menunjukkan kejelasan strategik dan kesepakatan dalam menjalin kerjasama yang seiringan dengan realiti geopolitik semasa,” katanya.

Kumarajah berkata Malaysia selaku pengerusi ASEAN, telah mengambil langkah bagi memastikan hasil penglibatan sedemikian memberi manfaat kepada rakyat serta perniagaan.

“Ucapan Perdana Menteri jelas menyatakan pertumbuhan mampan dan saksama mestilah turut melibatkan akar umbi, termasuk 1.2 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menggaji lebih daripada 60 peratus tenaga kerja Malaysia.

“Kita juga tidak boleh membiarkan sidang kemuncak mega seperti ini terasing daripada rakyat,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada hari ini dan esok serta mesyuarat berkaitan, dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” dan menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara bagi perbincangan peringkat tinggi yang menumpukan kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.

Acara itu menyaksikan penyertaan ketua kerajaan kesemua negara anggota penuh ASEAN kecuali Myanmar manakala Timor Leste hadir sebagai pemerhati.

Persidangan itu dimulakan dengan sidang pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dipengerusikan oleh Anwar dan para pemimpin membincangkan pelbagai isu utama serantau, termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan maritim, perubahan iklim, dan ekonomi digital.

Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu, setelah mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Bersempena dengan sidang kemuncak itu juga, dua pertemuan peringkat tinggi yang penting akan diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat pertama kali dan menjadi platform strategik dalam memajukan kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA