BERITA TERKINI   Kerja pembaikan, penstabilan Sistem Autogate masih berjalan untuk pastikan ia kembali beroperasi pada kapasiti optimum - AKPS | Sistem Autogate untuk pelawat asing mula beoperasi secara beperingkat - AKPS | ⁠Pelajar institusi pondok perlu dalami ilmu TVET untuk kuasai bidang digital dan teknologi - PM Anwar | Umat Islam perlu pertahan legasi keilmuwan Islam, perkukuh hubungan antara ulama dan umarak - PM Anwar | 
Ad Banner

Fadillah Tiba Di Uzbekistan Untuk Lawatan Kerja Rasmi

Daripada Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 21 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di sini awal pagi Sabtu bagi memulakan lawatan kerja rasmi beliau di Uzbekistan.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, disambut oleh Timbalan Menteri Tenaga Uzbekistan Azizkhoja Qobilov. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia di Uzbekistan Ilham Tuah Ilias. 

Fadillah dijadualkan melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, serta mesyuarat bersama Menteri Tenaga Uzbekistan Jurabek Mirzamakhmudov. 

Beliau turut dijadualkan menyampaikan ucaptama, yang antaranya menyentuh amalan terbaik serta inovasi Malaysia dalam perkhidmatan awam, pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 di Samarkand.

Timbalan Perdana Menteri berada di Uzbekistan sehingga 24 Jun sebelum meneruskan lawatan kerja ke Rusia sehingga 28 Jun.

-- BERNAMA