BERITA TERKINI   ASEAN pertimbang rakan dialog baharu yang mampu beri tambah nilai kepada blok serantau itu - Mohamad Hasan | Mohamad Hasan akan ke Myanmar pada September sebagai strategi libat urus berterusan ASEAN | Kemasukkan Timor-Leste ke dalam ASEAN: AMM ke-58 galakkan negara itu segera ambil langkah sertai instrumen undang-undang berkaitan - Mohamad Hasan | Kejayaan penganjuran AMM ke-58 bukti ASEAN dihormati, mendapat kepercayaan kuasa besar dunia - Mohamad Hasan | Malaysia gesa Israel dipertanggungjawabkan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa – Mohamad Hasan | 
Ad Banner
Ad Banner

Pemilik Unit Kedai, Pangsapuri Di Taman Kewangan Labuan Terima Hak Milik Strata Selepas 28 Tahun

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 25 Jun (Bernama) -- Selepas menunggu hampir tiga dekad, 31 pemilik unit kedai dan sembilan pemilik unit pangsapuri di Kompleks Taman Kewangan di sini, akhirnya berjaya memperoleh hak milik strata masing-masing hari ini.

Pengeluaran hak milik strata itu berikutan permohonan oleh Financial Park (Labuan) Sdn Bhd yang bermula pada 2018 susulan penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 di Labuan.

Penyerahan hak milik strata itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Datuk Hazri Hassan di Kompleks Taman Kewangan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Financial Park (Labuan) Sdn Bhd Johari Mesar berkata pembangunan bercampur-campur itu terdiri daripada 419 lot komersial yang direka untuk pelbagai aktiviti perniagaan dan kemudahan berkaitan.

“Ini merupakan pencapaian yang amat dinanti-nantikan oleh pemilik unit kami yang telah melabur di sini sejak 1996.

“Hak milik strata memberi pengiktirafan pemilikan rasmi dan membuka pintu kepada pengurusan nilai aset yang lebih baik,” kata Johari kepada Bernama selepas majlis penyerahan itu.

Beliau berkata Taman Kewangan Labuan telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf di beberapa bahagian kawasan kompleks untuk meningkatkan nilai aset komersialnya.

“Selain itu, kami turut bekerjasama rapat dengan Perbadanan Labuan bagi memastikan semua pengendali perniagaan di kompleks itu memiliki lesen yang sah. Ia penting bagi mengekalkan pematuhan kawal selia dan menyokong ekosistem perniagaan yang sihat,” katanya.

Johari berkata Kompleks Taman Kewangan kekal sebagai hab komersial dan pejabat utama di Labuan, kerana kedudukannya yang strategik dan menempatkan pelbagai perniagaan dan kemudahan, dengan pengeluaran hak milik strata baharu itu, ia dijangka meningkatkan keyakinan pelabur dan memacu pembangunan berterusan.

-- BERNAMA