BERITA TERKINI   Pemulihan aset 1MDB cecah RM31.2 bilion setakat ini, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti - SPRM | 1MDB: Empat karya seni bernilai USD198,125 telah dibawa pulang ke Malaysia - SPRM  | Krisis tenaga global: Kadar Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Krisis tenaga global:Kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Kerajaan setuju tingkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12, tanpa kos tambahan menggunakan infrastruktur sedia ada - Akmal Nasrullah | 
Ad Banner

Penerbangan Terus Phnom Penh-P.Pinang Perkukuh Hubungan Dagangan ASEAN- MAHB

GEORGE TOWN, 30 Jun (Bernama) -- Penerbangan terus baharu bagi laluan Phnom Penh ke Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan Cambodia Airways dilihat sejajar dengan ASEAN Connectivity Master Plan 2025, sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia ke arah integrasi serantau yang lebih mendalam.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata laluan ini membuka peluang baharu untuk perdagangan dan kerjasama rentas sempadan, serta meletakkan Pulau Pinang sebagai titik utama dalam rangkaian ekonomi ASEAN.

“Cambodia Airways adalah syarikat penerbangan kedua baharu yang memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tahun ini selepas Sichuan Airlines.

Ad Banner

“Kemasukan syarikat penerbangan ini mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama di utara dan memperkasa peranan strategik kami dalam memperluas kesalinghubungan udara serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Jun, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menyambut ketibaan Cambodia Airways sebagai syarikat penerbangan asing ke-18 yang beroperasi di situ, sekali gus menandakan pelancaran penerbangan terus pertama antara Phnom Penh dan Pulau Pinang.

Perkhidmatan dua kali seminggu yang beroperasi pada Khamis dan Ahad itu menggunakan pesawat Airbus A320, menjadikannya laluan antarabangsa kedua syarikat penerbangan berkenaan ke Malaysia selepas Phnom Penh–Kuala Lumpur.

Ad Banner
Ad Banner

 Selain Kemboja, Pulau Pinang kini menawarkan penerbangan terus ke beberapa negara utama ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Myanmar.

Perkhidmatan ini memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab baharu untuk perdagangan dan pelancongan serantau, sejajar dengan usaha berterusan negeri itu untuk memperluas rangkaian destinasi dan meningkatkan kesalinghubungan penumpang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencatat 3.4 juta penumpang daripada Januari hingga Mei 2025, meningkat 12 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 53 peratus adalah penumpang antarabangsa manakala 47 peratus merupakan penumpang domestik, kata MAHB.

-- BERNAMA