Ad Banner

S P Setia, Mitsui Fudosan Jalin Kerjasama Projek Perumahan Di Semenyih

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) --  Setia EcoHill Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh S P Setia Bhd, telah memeterai usaha sama (JV) dengan syarikat pelaburan hartanah Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd bagi membangunkan projek kediaman di atas tanah seluas 45.73 hektar.

Dalam kenyataan hari ini, pemaju hartanah itu menyatakan syarikat JV dikenali sebagai Setia MF EcoHill Sdn Bhd akan melaksanakan projek di kawasan perbandaran Setia EcoHill di Semenyih, Selangor.

S P Setia berkata cadangan pembangunan itu merangkumi 683 unit kediaman jenis banglo, rumah berkembar dan jenis kluster dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion.

Projek itu akan dilancarkan secara berfasa dengan pelancaran awalnya pada 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zaini Yusoff berkata kerjasama itu akan memacu profil Setia EcoHill serta kebolehpasaran kepada pemilik dan pelabur tempatan.

“Kami berharap untuk memperdalam serta mengukuhkan hubungan dengan Mitsui Fudosan bagi tempoh jangka panjang selepas kerjasama pertama pada Disember 2023 menerusi Setia Federal Hill,” katanya.

-- BERNAMA