Ad Banner

Synology Optimis Produk Penyelesaian Baharu Dapat Perkukuh Daya Tahan Siber

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Synology Inc (Synology) yang berpangkalan di Taiwan, sedang mengukuhkan tumpuan perusahaan dengan melancarkan penyelesaian perlindungan data dan simpanan baharu.

Pelancaran itu juga bersempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-25 dan di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap transformasi digital di serata Asia Tenggara.

Ketua Synology bagi Asia Tenggara, Thachawan Chinchanakarn berkata syarikat itu turut menyaksikan momentum pertumbuhan kukuh, dipacu oleh peningkatan pertumbuhan data serta keperluan bagi mendapatkan penyelesaian teknologi lebih maju.

“Penyelesaian kami merangkumi keempat-empat tonggak pengurusan data – penyimpanan atau storan boleh dipercayai, produktiviti dipertingkatkan, perlindungan data kukuh serta pengawasan video pintar. 

“Ini mewujudkan ekosistem bersepadu yang membolehkan perniagaan menangani cabaran teknologi maklumat (IT) masa kini selain bersedia untuk masa depan," katanya dalam sesi taklimat media di sini, hari ini.

Penawaran baharu itu termasuk ActiveProtect yang juga peranti sandaran atau sokongan berkapasiti 8 Terabait (TB) hingga 140TB dan direka dengan ciri sokongan tidak boleh ubah, keupayaan air-gap (pengasingan komputer atau rangkaian daripada jaringan luar) serta sokongan pematuhan.

Syarikat itu turut memperkenalkan PAS7700, penyelesaian storan all-flash NVMe aktif yang direka untuk menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi tanpa gangguan bagi beban kerja kritikal perusahaan.

Ini merujuk kepada seni bina sistem ketersediaan tinggi dengan dua atau lebih pelayan atau pengawal yang beroperasi secara serentak serta berkongsi beban kerja dalam masa nyata.

Synology akan turut menawarkan keupayaan dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dalam produk Office Suite, termasuk Optical Character Recognition (OCR), carian semantik, rumusan serta terjemahan masa nyata.

Dalam pada itu, Thachawan menyifatkan pasaran Malaysia berperanan penting dalam strategi pertumbuhan serantau syarikat berkenaan yang disokong oleh penekanan kerajaan terhadap pendigitalan.

“Malaysia adalah antara empat pasaran utama kami di Asia Tenggara dan kerajaan Malaysia mempunyai pelan induk transformasi digital lebih jelas. Ketika lebih banyak sektor menggunapakai teknologi digital, jumlah data turut meningkat dan perkara pertama yang diperlukan adalah storan dan disusuli dengan perlindungan data,” katanya.

Mengulas mengenai pelaburan tempatan, Thachawan berkata sebahagiaan besar penyelidikan dan pembangunan kekal menjadi tumpuan ibu pejabat Synology di Taiwan.

Namun, pada masa sama, strateginya di Malaysia menumpukan usaha memperkukuh kerjasama dan kemampuan perkhidmatan yang disediakan.

“Kami sudah berada di pasaran Malaysia melebihi 15 tahun, menumpukan pengetahuan lebih hebat menerusi latihan bersama rakan selain perkhidmatan untuk mengukuhkan sokongan tempatan bagi pelanggan perusahaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Synology bagi Malaysia, Jason Sin berkata syarikat itu telah mencatat pertumbuhan kukuh di peringkat tempatan, dipacu oleh peningkatan permintaan bagi penyelesaian sokongan data.

“Pasaran Malaysia terus mencatat pertumbuhan dua angka, didorong oleh permintaan kukuh sektor kerajaan dan peningkatan kesedaran terhadap risiko keselamatan siber yang menyumbang secara ketara terhadap peningkatan penyelesaian sokongan,” katanya.

Beliau berkata permintaan terhadap aspek storan juga meningkat dalam sektor pembuatan, malah syarikat sedang bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan bagi menyokong pertumbuhan itu.

Jason berkata rakan kongsi tempatan Synology juga berkeupayaan dalam penyesuaian sistem, pemasangan di tapak, reka bentuk seni bina serta penyediaan perkhidmatan bagi membuktikan konsep.

“Kami juga mempunyai perkhidmatan penggantian segera tempatan bagi mengurangkan masa henti. Pasukan kami juga adalah terlatih melalui sesi teknikal berkala,” katanya.

-- BERNAMA