Bioeconomy Corporation, UMK Jalin Kerjasama Pacu Pembangunan Bakat, Usahawan Bio Di Kelantan
BACHOK, 14 Okt (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam membangunkan bakat serta usahawan bio.
Kerjasama itu juga bertujuan memacu pengkomersialan penyelidikan dan inovasi selain memperkasakan pembangunan komuniti melalui adaptasi bioteknologi serta penerokaan potensi sumber berasaskan bio, khususnya di Kelantan.
MoU itu bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu dan sumber akademik termasuk penerbitan hasil penyelidikan, pembangunan platform teknologi, penganjuran program komuniti dan kesedaran masyarakat serta pembentukan model perniagaan alternatif yang dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan universiti, industri, komuniti dan kerajaan selaras dengan pendekatan kerjasama ‘quintuple helix’ seperti yang digariskan dalam Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kerjasama itu merupakan komitmen untuk memperkasakan potensi industri bioteknologi dan berasaskan bio di peringkat akar umbi, khususnya di Kelantan.
“Bersama UMK, kami ingin memastikan hasil penyelidikan, perkongsian pengetahuan dan inovasi dalam industri ini dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Mereka dapat meneroka peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam sektor-sektor inovasi berpotensi besar di negeri ini seperti bioteknologi pertanian, penternakan berasaskan bio, pengurusan sisa, produk herba dan kesihatan semula jadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MoU itu juga selari dengan tumpuan Belanjawan 2026 terhadap pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan inovasi teknologi bernilai tinggi, yang menyokong usaha kerajaan mengukuhkan daya saing ekonomi negara serta memperluas peluang pembangunan kepada rakyat.
Sementara itu, Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata MoU berkenaan menjadi platform penting bagi universiti untuk memperkukuh peranan dalam memperkasakan pembangunan komuniti melalui inovasi.
“UMK sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa ilmu mesti membawa manfaat kepada masyarakat. Dengan kemahiran akademik dan penyelidikan kami serta kepakaran Bioeconomy Corporation dalam memacu industri bioteknologi dan berasaskan bio, kita dapat menangani isu semasa dalam bidang ini termasuk cabaran pengkomersialan, kekurangan tenaga mahir berpengetahuan tinggi serta tahap kesedaran awam,” katanya.
Menurutnya inisiatif itu turut membuka peluang kepada penyelidik dan pelajar universiti untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan industri dan komuniti melalui kursus pendek, program komuniti serta kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi pendedahan praktikal di lapangan.
Majlis pertukaran MoU berkenaan disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan CRI 2025 & STEM 2025 di Festival of Ideas 2025 peringkat negeri Kelantan (FOI@Kelantan) yang diadakan di UMK Bachok hari ini.
Festival itu menghimpunkan pemikiran, idea, inovasi dan perbincangan intelektual dalam satu platform terbuka serta inklusif bagi memperkasakan ekosistem inovasi tempatan.
-- BERNAMA