BERITA TERKINI   Kerajaan berhak tarik balik bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan - MoF | Peruntukan keseluruhan STR dan SARA tahun ini berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah kerajaan - MoF | RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR Fasa 1 tahun ini, 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan dapat manfaat - MoF | Perbincangan bersama Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian semalam sentuh aspek cabaran AI, proses pengawalseliaan sandbox - Fahmi | MINDEF diberi keutamaan guna pakai kerangka ESG berikutan skala perolehan yang besar dan keperluan tadbir urus lebih mampan – Fahmi | 

Gamuda Perkukuh Kerjasama Industri Menerusi ICW Dan BuildXpo 2025

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Gamuda Bhd meneruskan sokongannya terhadap acara industri pembinaan terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia iaitu Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2025.

Acara berkenaan dijalankan bagi memacu pembinaan mampan dan digital serta menggalakkan kerjasama di seluruh Malaysia dan ASEAN.

Pengerusi eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (Qube) Richard Teo berkata kerjasama berterusan dengan Gamuda sebagai rakan industri utama memberikan nilai yang amat besar kepada ICW dan BuildXpo.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebagai satu daripada peneraju pembinaan yang paling inovatif dan dihormati di Malaysia, penglibatan Gamuda membuktikan kepentingan pemimpin industri berganding bahu untuk memperjuangkan perubahan, penerapan teknologi dan kemampanan.

“Sokongan syarikat berkenaan membolehkan kami mewujudkan platform yang lebih berimpak bagi pertukaran ilmu, rangkaian kerjasama dan peluang perniagaan merentasi ekosistem pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Zainora Zainal berkata kepimpinan Gamuda dalam pembinaan mampan dan inovatif mencerminkan matlamat bersama ICW untuk meletakkan Malaysia dan ASEAN di barisan hadapan kecemerlangan industri pembinaan.

“Bersama rakan seperti Gamuda, kami meneruskan misi untuk membangunkan industri pembinaan yang progresif, terangkum dan berdaya saing di peringkat global serta mampu menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

ICW dan BuildXpo 2025 yang bertemakan “Membina Masa Depan ASEAN akan diadakan dari 28 hingga 30 Oktober di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta akan menjadi acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya dan CIDB Malaysia sejak 1998, ICW 2025 menandakan edisi ke-27 penganjurannya sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada platform industri pembinaan terkemuka di rantau ini.

BuildXpo iaitu Pameran Industri Pembinaan dan Bangunan Antarabangsa Malaysia merupakan pameran perdagangan rasmi bagi ICW dan dianjurkan bersama oleh CIDB Malaysia dan Qube.

“Walaupun ICW memberi tumpuan kepada persidangan dan pertukaran ilmu, BuildXpo merupakan pasaran dinamik apabila para pempamer menunjukkan teknologi pembinaan, bahan serta amalan mampan terkini sekali gus memupuk peluang perniagaan dan kerjasama bernilai tinggi,” menurut kenyataan itu.

Edisi tahun ini akan menampilkan lebih daripada 350 gerai yang mempamerkan teknologi dan penyelesaian pembinaan terkini berserta persidangan bertaraf tinggi seperti Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC), Sidang Kemuncak Pembinaan Digital (DCS) dan Perbincangan Meja Bulat Women in Building Malaysia (WIBM).

Penekanan lain termasuk Program Penyumberan Antarabangsa yang dianjurkan bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang menghubungkan pempamer Malaysia dengan pembeli global serta pertandingan belia dan kemahiran seperti Anugerah QUEST 2025, Pertandingan Kren Kebangsaan dan Pertandingan Idea Terbuka MSSA.

ICW & BuildXpo 2025 menjemput para profesional pembinaan, inovator, pembuat dasar, usahawan dan pelajar untuk turut serta dalam platform perubahan ini yang membentuk masa depan persekitaran binaan ASEAN.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari www.icw.my.

-- BERNAMA