BERITA TERKINI   Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | Tiga hingga empat individu akan dipanggil untuk beri kenyataan tentang dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | Ambil iktibar krisis di Timur Tengah, jadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia - PM Anwar | Anggaran 60 peratus ahli KWSP berpotensi capai tahap simpanan asas kira-kira RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030 - Amir Hamzah | Polis telah ambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | 
Ad Banner

Harga Minyak Brent Lonjak Enam Peratus Dalam Sehari Selepas AS Sekat Dua Firma Rusia

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terbaharu ke atas dua syarikat minyak terbesar Rusia - Rosneft dan Lukoil, terbukti melonjakkan harga minyak mentah Brent sebanyak enam peratus dalam masa sehari ketika peniaga dan pihak penapis minyak bergelut mendapatkan bekalan alternatif, kata Rystad Energy.

Naib Presiden Pasaran Komoditi (minyak) Rystad Energy, Janiv Shah berkata tindakan itu akan menyebabkan kemungkinan pengurangan pengeluaran minyak Rusia sebanyak 500,000-600,000 tong sehari (bpd).

Ini berikutan Lukoil dan Rosneft mengeksport masing-masing kira-kira tiga juta tong minyak sehari dan kira-kira satu juta tong minyak sehari bagi produk bertapis.

Ad Banner
Ad Banner

Rystad Energy berkata eksport minyak mentah Rosneft juga adalah pelbagai dari segi geografi, termasuk penghantaran kira-kira 800,000 tong sehari ke China menerusi sistem saluran paip Siberia Timur-Lautan Pasifik melalui Kazakhstan serta dari pelabuhan di Timur Jauh Rusia.

“India dan Turkiye berkemungkinan besar mengurangkan import daripada paras semasa sebanyak dua juta tong minyak sehari manakala impak tindakan syarikat-syarikat milik kerajaan China membatalkan pembelian minyak Rusia sebaliknya akan menyokong pembelian minyak gred “Middle Eastern medium-sour.”

“Pasaran akan mengambil kira tindakan ini dan melaksanakan pelarasan yang bersesuaian. Ini boleh memberi impak besar terhadap aliran serta berpotensi menjadikan gred Urals tidak lagi ekonomik secara politik untuk sebahagian besar pembeli selain mencetuskan peralihan semula import minyak mentah dari Timur Tengah dan sumber saingan lain,” kata Janiv.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata peningkatan serangan dron ke atas loji penapisan Rusia juga akan hanya mempercepat penutupan pengeluaran apabila permintaan domestik terhadap minyak mentah terus lemah.

Selain itu, beliau berkata Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) juga telah memberi isyarat kemungkinan bertindak menampung potensi kekurangan bekalan apabila bermesyuarat pada awal bulan depan.

Menurut Rystad Energy, pentadbiran AS telah bertindak mengenakan sekatan terhadap Rosneft dan Lukoil serta beberapa anak syarikat firma itu yang berpangkalan di Rusia pada Khamis, sekali gus membuktikan peningkatan ketara kempen tekanan Washington ke atas Moscow.

Jabatan Perbendaharaan AS memberi alasan tindakan itu bertujuan meningkatkan sekatan ke atas sektor tenaga Rusia.

-- BERNAMA