BERITA TERKINI   SPRM akan bertindak tegas terhadap ejen, pelobi bendung pandemik rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)  | SPRM terima aduan dakwaan salah laku seorang bekas menteri kanan, siasatan sedang dijalankan - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM | Polis rampas 98.73 kg syabu dianggarkan RM4.9 juta di Padang Besar 9 Feb lepas, tahan seorang lelaki - Ketua Polis Perlis | 

Keuntungan DXN Melonjak Kepada RM70.26 Juta, Umum Dividen 0.80 Sen

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Keuntungan bersih DXN Holdings Bhd untuk suku kedua berakhir 31 Ogos 2025 melonjak kepada RM70.26 juta berbanding RM65.97 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan menyusut sebanyak 1.5 peratus kepada RM481.20 juta daripada RM488.43 juta, menurut syarikat jualan langsung dalam kesihatan global itu melalui makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Ini disebabkan oleh impak negatif dalam penukaran mata wang yang timbul akibat penyusutan nilai mata wang asing berbanding ringgit.

Ad Banner
Ad Banner

"Tanpa mengambil kira kesan penukaran mata wang, pendapatan dalam mata wang tempatan kekal positif, dengan Peru, Bolivia, Mexico dan India mencatatkan kadar pertumbuhan dari dua peratus hingga 38 peratus," katanya.

Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.80 sen bagi setiap saham biasa berkaitan dengan tahun kewangan berakhir pada 28 Feb 2026, yang perlu dibayar menjelang 28 Nov 2025.

DXN Holdings menambah bahawa pasaran di Timur Tengah turut menunjukkan lonjakan, disokong oleh aktiviti-aktiviti yang merangsang pasaran. Bagaimanapun, perolehan dari Maghribi merosot selepas permintaan yang lebih lemah disebabkan paras stok yang agak tinggi yang dipegang oleh ahli berikutan peningkatan pembelian semasa kempen promosi terdahulu.

Ad Banner
Ad Banner

Untuk enam bulan berakhir pada 31 Ogos 2025, keuntungan bersih menyempit kepada RM144.17 juta berbanding RM151.54 juta sebelum ini, manakala pendapatan merosot kepada RM960.26 juta daripada RM963.49 juta.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek berkata ia akan terus mempelbagaikan penawaran produknya selain menumpukan kepada penyelesaian yang akan menyokong imuniti dan kesejahteraan secara menyeluruh.

"Untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang, kumpulan itu sedang memperluaskan jejak globalnya dengan kemudahan baharu di Peru, Bolivia dan Maghribi. Sebagai tambahan, ia turut berkembang memasuki Kelantan, Malaysia.

"Pengembangan ini akan memperluaskan akses pasaran termasuk meningkatkan lagi kecekapan logistik. Dalam konteks ini, kumpulan tetap memberi tumpuan kepada inovasi produk, skala operasi dan pengembangan yang mampan, yang amat penting kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kami dalam sektor kesejahteraan," katanya.

-- BERNAMA