BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

9 Air Lancar Penerbangan Sewa Khas Haikou-Pulau Pinang Mulai 18 Nov

GEORGE TOWN, 12 Nov (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah China, 9 Air akan melancarkan penerbangan sewa khas antara Haikou, Hainan dan Pulau Pinang mulai 18 Nov ini, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan udara antara kedua-dua destinasi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata laluan Haikou-Pulau Pinang itu pada peringkat awal akan beroperasi sebagai perkhidmatan carter, dengan potensi untuk dibangunkan sebagai penerbangan berjadual pada masa akan datang.

“Penerbangan terus itu dijadual beroperasi tiga kali seminggu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu. Penerbangan dari Haikou ke Pulau Pinang yang menggunakan kod AQ1297 akan bermula pada 18 Nov ini, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan (HAK) pada 1.15 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada 5.35 pagi.

Ad Banner
Ad Banner

“Sementara itu, penerbangan dari Pulau Pinang ke Haikou dengan kod AQ1298 juga akan bermula pada 18 Nov ini, berlepas dari PIA pada 6.35 pagi dan tiba pada 10 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata pelancaran perkhidmatan penerbangan carter itu dibuat tidak lama selepas Pulau Pinang menjadi tuan rumah Kongres Hainan Sedunia ke-18 dari 14 hingga 16 Nov ini, yang akan menghimpunkan pemimpin Hainan dan tetamu dari seluruh dunia.

Beliau berkata Pulau Pinang dan Hainan telah menjalin hubungan persahabatan antara negeri dan wilayah pada 2013, diikuti hubungan antara Pulau Pinang dan bandar Sanya pada 2017.

Ad Banner
Ad Banner

Wong berkata dengan pelancaran penerbangan terus 9 Air bagi laluan Haikou-Pulau Pinang, kesalinghubungan udara Pulau Pinang dengan wilayah selatan, barat dan barat daya China kini semakin meluas, sekali gus menyediakan perhubungan yang lebih mudah bagi urusan pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya antara kedua-dua wilayah.

-- BERNAMA