BERITA TERKINI   Gempa bumi di Jepun: Rakyat Malaysia diminta mendaftar kehadiran mereka dengan Kedutaan Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan - Wisma Putra | Tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda timur laut Jepun pada Isnin - Wisma Putra | Orkim Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama, tidak berubah pada 92 sen seperti harga IPOnya, dengan 5.40 juta saham diniagakan | Kehadiran Orkim dalam logistik maritim dan pengangkutan tenaga menyokong keselamatan tenaga negara - Amir Hamzah | Keyakinan pelabur yang kukuh dan peluang wujud untuk syarikat yang bersedia memanfaatkan ketelusan, tadbir urus dan pertumbuhan mampan - Amir Hamzah | 
Ad Banner

Dasar Berkecuali ASEAN Tawar Platform Dagangan, Pelaburan Dengan Kuasa Ekonomi Utama

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Rantau ASEAN yang berkecuali menawarkan platform bagi perdagangan, kerjasama teknologi dan pelaburan dengan semua kuasa ekonomi utama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Pelaburan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata penglibatan ASEAN yang konsisten dengan Amerika Syarikat (AS) dan China tanpa cenderung menyebelahi mana-mana blok secara strategik, juga telah mengekalkan ruang dasar yang sebaliknya kurang diamalkan di kebanyakan rantau lain.

“Pendirian sebegini dapat mengekalkan autonomi selain meningkatkan lagi daya tarikan ekonomi ASEAN,” katanya pada sesi perbincangan bertajuk “Building Regional Strength through Smarter Fiscal and Trade Policies” (Membangunkan Kekuatan Serantau Menerusi Dasar Fiskal dan Perdagangan Pintar) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sejak setahun lalu, Malaysia telah diberi kepercayaan sebagai pengerusi ASEAN yang pada masa menyaksikan pemecahan geopolitik serta pertikaian kuasa-kuasa besar.

Di sebalik cabaran itu, ASEAN memaparkan daya tahan, perpaduan serta kestabilan, sekali gus mengesahkan lagi kedudukannya sebagai tonggak keseimbangan ekonomi serta berkecuali secara strategik.

“Salah satu perkara utama daripada Kepengerusian ASEAN itu adalah kerelevanan rantau ini yang telah ketara seiring dengan peningkatan polarisasi global.

“Seiring usaha kuasa besar yang melakukan penjajaran semula dan perubahan rantaian bekalan mengikut pertikaian geopolitik, pendirian ASEAN yang seimbang dan berwawasan ini telah menjadi kuasa penstabil yang bernilai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia selaku anggota ASEAN, turut bertindak memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dipertingkat dan mengukuhkan kerjasama ekonomi yang dijalinkan dengan China.

Selain itu, peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dimuktamadkan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, pula menjadi menjadi langkah penting ke arah memperdalam integrasi ekonomi serantau.

“Dalam era yang mana daya tahan serta ketangkasan menjadi penentu daya saing, peningkatan ATIGA itu meletakkan asas institusi bagi membolehkan rantau ini berperanan sebagai pasaran tunggal lebih dipercayai, lebih lancar dan hanya menambah tarikan bagi tujuan pelaburan.

“Pada 2024 misalnya, ASEAN bertentangan dengan aliran global apabila mencatat peningkatan 8.5 peratus dalam pelaburan langsung asing yang mencecah US$228 bilion (US$1=RM4.14). Susulan peningkatan ATIGA, saya yakin momentum ini dapat dikekalkan,” katanya.

Selain itu, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pula dijangka membolehkan ekonomi digital ASEAN mencecah US$1 trilion menjelang 2030.

Menerusi DEFA yang dimajukan di bawah kepimpinan Malaysia juga dijangka meningkatkan angka itu sebanyak dua kali ganda kepada US$2 trilion, katanya.

Bagi aspek peralihan hijau dan penyahkarbonan industri, Tengku Zafrul berkata ASEAN telah mencatat kemajuan dalam Grid Kuasa ASEAN yang akan merevolusi serta mewujudkan penyepaduan lebih erat dalam sektor tenaga serantau.

-- BERNAMA