BERITA TERKINI   Liga Super: KL City FC 0-1 Penang FC | Liga Super: JDT 2-1 Kuching City FC | Kerajaan berhak tarik balik bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan - MoF | Peruntukan keseluruhan STR dan SARA tahun ini berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah kerajaan - MoF | RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR Fasa 1 tahun ini, 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan dapat manfaat - MoF | 

Sunway Property, Engie Tingkat Kerjasama Sistem Penyejukan Daerah

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Cabang hartanah Sunway Bhd, Sunway Property telah mengukuhkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan tenaga rendah karbon Engie menerusi perluasan perkongsian sistem penyejukan daerah (DCS) Sunway Square melalui usaha sama mereka, Engie-Sunway DCS Sdn Bhd. 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Sunway Property dan Engie berkata perluasan rangkaian DCS itu akan menyediakan perkhidmatan bagi kemudahan Sunway Education, termasuk kampus Universiti Sunway dan Kolej Sunway.

“Pengembangan ini dibina berdasarkan DCS pertama yang dilancarkan pada Jun 2025, bagi membekalkan air sejuk ke Sunway Square, sebuah pembangunan guna campur bernilai RM2 bilion yang menampilkan pejabat Gred A, peruncitan, pusat seni persembahan dan blok universiti. 

Ad Banner
Ad Banner

“Dengan Menara Korporat Sunway Square yang telah siap dan penyewa sedang berpindah masuk secara progresif, komponen runcit dijadualkan dibuka pada Disember 2025, manakala pusat seni persembahan dibuka pada 2026,” kata mereka. 

Mereka berkata, dijadualkan siap pada September 2026, rangkaian DCS yang diperluaskan itu akan menghubungkan sehingga 3,000 tan penyejukan (RT) kapasiti penyejukan untuk lapan bangunan SEG, termasuk bangunan tambahan kejuruteraan yang baharu dibina, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi serta Pusat Siswazah. 

“Ia akan memenuhi sehingga 60 peratus daripada keperluan penyejukan kampus pada waktu puncak dan kira-kira 75 peratus daripada permintaan penyejukan tahunan mereka, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 29 peratus, bersamaan dengan lebih 48,000 tan karbon dioksida, sepanjang tempoh kontrak selama 24 tahun,” katanya. 

Syarikat itu berkata pengembangan itu meningkatkan komitmen bersama Engie dan Sunway Property untuk membangunkan infrastruktur bandar rendah karbon yang boleh diskala yang menerapkan kemampanan ke dalam setiap peringkat reka bentuk bandar. 

-- BERNAMA