BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

MATRADE Bimbing Syarikat Pertengahan Malaysia Teroka Pasaran Pertumbuhan Tinggi India

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengorak laluan baharu untuk syarikat peringkat pertengahan Malaysia memanfaatkan pasaran India yang berkembang pesat melalui misi penerokaan pasaran ke Mumbai dari 19 hingga 21 November.

MATRADE menjelaskan empat syarikat menyertai misi itu untuk memperkukuh kerjasama dengan peserta ekosistem perniagaan dinamik India, memanfaatkan prospek eksport baharu, dan meningkatkan keterlihatan syarikat peringkat pertengahan Malaysia dalam pelbagai rantaian bekalan.

“Misi ini mencerminkan komitmen teguh MATRADE untuk menyokong syarikat Malaysia menembusi pasaran pertumbuhan tinggi seperti India.

Ad Banner
Ad Banner

“Misi ini telah dirangka untuk menempa kerjasama strategik baharu, memggalakkan penyelesaian perniagaan yang inovatif dan mampan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal yang kompetitif dan berkeupayaan melalui Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP),” menurut MATRADE dalam kenyataan hari ini.

Kalangan syarikat yang menyertai telah mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama dan entiti perniagaan berkaitan seperti Dewan Pelaburan dan Perniagaan Antarabangsa, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bombay, Persatuan Peruncit India, Dewan Perniagaan dan Perindustrian PHD, Indo-Global Trade Development EXIM CCI, Dewan Perniagaan India dan Maybank India.

Delegasi Malaysia turut menyertai Ekspo Perdagangan Dunia keenam dan Sidang Kemuncak Ekonomi Global ke-10 di Mumbai untuk mempertingkatkan penjenamaan di peringkat global serta meneroka perkongsian baharu.

Ad Banner
Ad Banner

India, ekonomi kelima terbesar dunia, terus mencatatkan penggunaan domestik yang kukuh dan perkembangan industri yang pesat, sekali gus membuka pelbagai peluang baharu untuk pengeksport Malaysia.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 10.8 peratus kepada RM83.5 bilion berbanding angka pada 2023.

Eksport Malaysia ke India mencecah RM52.1 bilion, didorong oleh minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, komponen elektrik dan elektronik, logam perkilangan, bahan kimia serta produk kimia, dan petroleum mentah.

Import dari India bernilai RM31.4 bilion, merangkumi produk petroleum, produk berkaitan pertanian, bahan kimia dan produk kimia, logam perkilangan serta produk elektrik dan elektronik.

-- BERNAMA