Keuntungan Bersih Alliance Bank Melonjak 8.8 Peratus Kepada RM206.56 Juta
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd melonjak 8.8 peratus kepada RM206.56 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2025 (tahun kewangan 2026) berbanding RM189.90 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan pendapatan dan elaun yang lebih rendah daripada kerugian kredit yang dijangkakan tetapi telah diimbangi oleh perbelanjaan operasi yang agak tinggi.
Pendapatan pula menokok 3.4 peratus kepada RM626.23 juta daripada RM605.64 juta.
“Pendapatan faedah bersih menokok RM3.8 juta atau 0.8 peratus kepada RM495.0 juta disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih baik,” kata bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026, keuntungan bersih Alliance Bank naik kepada RM405.26 juta berbanding RM366.36 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun 2025, manakala pendapatan berkembang kepada RM1.24 bilion daripada RM1.14 bilion sebelumnya.
Pendapatan faedah bersih merekodkan kenaikan berjumlah RM38.0 juta atau 4.0 peratus dari tahun ke tahun, selepas dipacu oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 8.1 peratus dari tahun ke tahun.
Alliance Bank telah mengisytiharkan 9.37 sen sesaham untuk dividen interim pertama, yang perlu dibayar menjelang 30 Disember 2025.
Bank itu ketika mengulas mengenai prospek berkata landskap global yang berkembang, termasuk ketegangan geopolitik dan ketidakpastian perdagangan, terus memberikan risiko kepada kestabilan ekonomi serta sentimen pasaran.
“Bagi tahun kewangan 2026, kami tetap berhati-hati dan memberi tumpuan kepada peningkatan produk, perkhidmatan termasuk teknologi kami; memperluaskan pinjaman dengan disiplin, mempelbagaikan sumber pembiayaan dan mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko kami.
“Inisiatif ini selaras dengan strategi Acceler8 2027 kami, memperkukuhkan lagi komitmen kami terhadap pertumbuhan yang mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya lagi.
-- BERNAMA