BERITA TERKINI   Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2026 berikutan keadaan kos global yang terus mereda - Gabenor BNM | Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, melebihi julat unjuran 4.0-4.8 peratus - Gabenor BNM | Pada 2025, ringgit naik 10.2 peratus berbanding dolar AS manakala penambahan nilai NEER sebanyak 6.3 peratus - BNM | Ringgit naik 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025, didorong oleh faktor luaran dan dalam negeri - BNM | Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3 peratus pada suku keempat 2025 manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus - BNM | 

Felda Terbit Sukuk, GGRC-i Bernilai RM8.92 Bilion Sehingga September 2025 - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah menerbitkan Sukuk Dengan Jaminan Kerajaan bernilai RM3.72 bilion serta Pembiayaan Kredit Pusingan Islam dengan Jaminan Kerajaan (GGRC-i) bernilai RM5.2 bilion sehingga 30 September 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan sukuk yang telah diterbitkan adalah RM8.92 bilion.

"Tempoh matang GGRC-i adalah pada Jun 2027," kata beliau menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Ad Banner
Ad Banner

Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai hala tuju FGV Holdings Bhd (FGV) setelah dinyahsenarai serta terma-terma dikenakan kerajaan ke atas Felda di atas pinjaman bagi pembelian saham FGV.

Beliau berkata susulan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Ogos lalu, hala tuju utama FGV adalah untuk menstruktur semula operasi dan organisasi syarikat agar lebih cekap, berdaya saing serta mampan dalam jangka masa panjang.

Sebagai pemegang saham terbesar, Felda akan memastikan FGV komited dalam menjana aliran tunai yang mampan manakala pulangan konsisten daripada keuntungan akan disalurkan semula untuk memperkukuh kedudukan kewangan Felda serta menjamin kebajikan peneroka, kata Ahmad Zahid.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, penyatuan operasi FGV dengan Felda pula membolehkan pelaksanaan ekonomi skala, khususnya dalam perolehan input ladang seperti baja, racun dan peralatan, sekali gus memberi penjimatan kos besar yang pada akhirnya mengurangkan beban kos ladang serta lot peneroka.

FGV juga, kata Ahmad Zahird, memberi tumpuan bagi memperluas perniagaan hiliran dengan nilai tambah seperti oleokimia, produk makanan berasaskan sawit, biodiesel serta tenaga boleh baharu.

“Langkah-langkah itu dijangka memacu pertumbuhan baharu serta meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi negara,” kata beliau.

-- BERNAMA