BERITA TERKINI   Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2026 berikutan keadaan kos global yang terus mereda - Gabenor BNM | Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, melebihi julat unjuran 4.0-4.8 peratus - Gabenor BNM | Pada 2025, ringgit naik 10.2 peratus berbanding dolar AS manakala penambahan nilai NEER sebanyak 6.3 peratus - BNM | Ringgit naik 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025, didorong oleh faktor luaran dan dalam negeri - BNM | Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3 peratus pada suku keempat 2025 manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus - BNM | 

Untung Bersih Petronas Gas Turun Kepada RM444.23 Juta Bagi Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM444.23 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 berbanding RM493.67 juta bagi suku sama tahun kewangan 2024.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PGB menjelaskan perolehan pula susut kepada RM1.62 bilion daripada RM1.66 bilion bagi tempoh yang sama.

Prestasi perolehan itu disebabkan terutama oleh segmen utiliti selaras dengan harga produk yang lebih rendah serta segmen pengangkutan gas berikutan pelarasan tarif menurun yang berpunca daripada faktor perkongsian untuk penggunaan gas dalaman (IGC) yang lebih rendah pada tahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, PGB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah berjumlah RM1.36 bilion berbanding RM1.42 bilion dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya, manakala perolehan susut kepada RM4.80 bilion daripada RM4.92 bilion.

Mengenai prospek, syarikat itu menjelaskan pihaknya terus menunjukkan daya tahan melalui operasi berdisiplin, pengurusan aset yang proaktif dan usaha berterusan dalam pengoptimuman kos, meskipun menghadapi cabaran operasi.

“Pada suku akan datang, PGB menjangkakan aktiviti penyelenggaraan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada program jaminan kebolehpercayaan dan keselamatan yang berterusan, dan pelarasan rebat berkaitan struktur baharu tarif elektrik yang diumumkan kerajaan dijangka terus memberi tekanan kepada perolehan segmen utiliti.

Ad Banner
Ad Banner

“PGB kekal memberi tumpuan kepada pengurusan kos yang berhemat, kecemerlangan operasi dan kemampanan jangka masa panjang, memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap yang terus mencipta nilai berkekalan untuk semua pihak berkepentingan,” menurutnya.

-- BERNAMA