BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 
Ad Banner

Lebihan Akaun Perkhidmatan Petunjuk Pemulihan Ekonomi Lebih Kukuh - Perdasama

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Pencapaian lebihan akaun perkhidmatan yang direkodkan kerajaan baru-baru ini menjadi petunjuk jelas bahawa ekonomi negara berada pada landasan pemulihan yang lebih stabil, kata Presiden Persatuan Perdagangan dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Mohd Azamanizam Baharon.

Beliau berkata ini didorong oleh disiplin fiskal, langkah penyasaran subsidi dan penstrukturan semula ekonomi yang lebih terarah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya gabungan langkah itu turut menyokong momentum sektor perkhidmatan dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan negara.

“Lebihan akaun perkhidmatan ini bukan bermakna semua kerenah birokrasi telah dihapuskan sepenuhnya.

“Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa beberapa penambahbaikan dalam sistem penyampaian kerajaan seperti proses kelulusan yang lebih cepat, digitalisasi perkhidmatan dan penyederhanaan prosedur turut membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta kelancaran aktiviti ekonomi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau mengulas laporan akaun perkhidmatan negara yang merekodkan lebihan sebanyak RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, sekali gus menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh selepas lebih 14 tahun berdepan defisit berterusan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus sekali gus membuktikan daya tahan dan asas negara yang kukuh dalam menghadapi cabaran global.

Katanya dari segi imbangan pembayaran pula, akaun semasa imbangan pembayaran mencatatkan lebihan sebanyak RM12.2 bilion atau 2.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang menunjukkan akaun barangan dan perkhidmatan yang berdaya tahan.

Pada 18 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian lebihan RM0.7 bilion itu didorong oleh strategi ekonomi MADANI, transformasi digital melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), agenda peralihan tenaga, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan sektor berimpak tinggi seperti pusat data.

Anwar berkata perkembangan pusat data yang pesat telah memberi faedah kepada ekonomi negara walaupun pembangunannya memerlukan import awal yang besar dan akhirnya menjana eksport perkhidmatan yang tinggi apabila beroperasi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi keseluruhan sektor perkhidmatan.

Mohd Azamanizam berkata Perdasama yakin hasil pengurusan fiskal yang teratur itu akan terus meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa selain menggalakkan aktiviti pelaburan baharu dan memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing di rantau ASEAN.

Katanya Perdasama yang mewakili lebih 27,000 ahli perusahaan, mikro kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera di seluruh negara turut menyifatkan kejayaan fiskal negara sebagai landasan penting untuk memperluas pembangunan ekosistem PMKS.

“Pencapaian ini mampu merancakkan aktiviti perdagangan serta membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menyertai rantaian nilai strategik termasuk sektor halal, digital, pertanian moden dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Katanya Perdasama akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh usahawan bumiputera termasuk melalui program digitalisasi PMKS, pembangunan ekosistem halal, pemerkasaan rangkaian perdagangan dalam dan luar negara serta penyertaan usahawan dalam sektor bernilai tinggi.

-- BERNAMA