CIMB Tawar Bantuan Kepada Pelanggan, Pekerja Terjejas Banjir
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd mengaktifkan pakej bantuan banjir yang komprehensif untuk membantu pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pekerja yang terjejas akibat bencana alam itu baru-baru ini.
CIMB dalam satu kenyataan berkata, Pelan Bantuan Banjir CIMB yang tersedia segera dan merangkumi lima bahagian utama memberi tumpuan kepada bantuan segera, pemulihan perniagaan dan daya tahan jangka panjang.
Bahagian pertama iaitu sokongan pembiayaan untuk pemilik perniagaan dengan kemudahan bantuan bencana yang dipertingkatkan merangkumi Kemudahan Bantuan dan Penyesuaian (RAFt) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pencegahan banjir dan penyesuaian.
"RAFt bertujuan membantu PKS melalui penilaian risiko banjir, pemindahan ke kawasan berisiko rendah (tidak termasuk pembelian tanah atau hartanah), kerja-kerja penyesuaian banjir, penyelenggaraan penyelesaian banjir serta perlindungan insurans atau takaful banjir," katanya.
Bank itu berkata pelanggan yang terjejas juga mungkin menerima bantuan pembayaran balik sehingga enam bulan termasuk pilihan moratorium serta melalui proses permohonan yang dipermudahkan manakala PKS akan ditawarkan pengaturan pembayaran balik yang fleksibel untuk menguruskan aliran tunai semasa tempoh pemulihan.
Di samping itu, CIMB berkata ia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi insurans dan takafulnya untuk mempercepatkan pemprosesan tuntutan untuk pelanggan di kawasan yang dilanda banjir melalui talian hotline khusus termasuk Berjaya Sompo Insurance Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd.
"Yuran akan dikecualikan untuk penggantian kad debit dan kredit, buku akaun, cek dan penyata bank serta caj lewat untuk pelanggan yang terjejas. Bagi PKS, semua caj dan yuran lewat yang berkaitan juga akan dikecualikan untuk menyokong pemulihan kewangan," katanya.
Bank itu menambah pekerja yang terjejas akan menerima bantuan segera di bawah dana kebajikan kakitangan termasuk pendahuluan tunai dan sokongan kewangan lain.
Selain pendekatan kewangan, Yayasan CIMB menggerakkan bantuan kemanusiaan dengan menghantar 49,000 hidangan sedia dimakan melalui Kembara Kitchen di bawah fasa tindak balas bencana awal dengan kerjasama GLC Demi Rakyat dan Negara.
Maklumat lanjut mengenai Pelan Bantuan Banjir CIMB boleh didapati di laman sesawang bank berkenaan.
-- BERNAMA