Untung Bersih Suku Ketiga RHB Bank Melonjak Kepada RM904 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- RHB Bank Bhd mencatat keuntungan bersih berjumlah RM904.01 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025, meningkat daripada RM833.19 juta pada tempoh sama tahun lepas, didorong oleh pendapatan keseluruhan yang lebih tinggi, kerugian kredit lebih rendah serta pengurusan kos yang berdisiplin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata hasil juga meningkat kepada RM4.52 bilion pada suku berkenaan daripada RM4.51 bilion sebelum itu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata keputusan itu mencerminkan daya  tahan kumpulan serta keupayaannya untuk mengekalkan prestasi yang mampan meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Momentum dalam segmen utama kami kekal kukuh disokong oleh mudah tunai yang teguh, pengurusan kredit yang berhemat dan kawalan kos yang berdisiplin," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih meningkat kepada RM2.46 bilion daripada RM2.29 bilion, bersamaan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.5 peratus, manakala hasil naik kepada RM13.41 bilion berbanding RM13.33 bilion sebelumnya.

Bank itu berkata prestasi lebih kukuh ini didorong terutamanya oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi, pengoptimuman kos yang berkesan, pengurusan kos kredit yang berdisiplin serta kualiti kredit yang bertambah baik, mencerminkan asas yang kukuh dan pengurusan risiko yang berhemat.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut bank itu, peningkatan tahun ke tahun turut disokong oleh peruntukan kerugian kredit yang lebih rendah dan pendapatan pembiayaan bersih yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih lemah, perbelanjaan operasi yang meningkat, cukai lebih tinggi serta bahagian kerugian lebih besar dalam syarikat bersekutu.

Meskipun berdepan ketidaktentuan makroekonomi, kumpulan itu menjangka prestasi tahun ini akan ditutup dengan kedudukan yang lebih kukuh.

“Menjelang 2026, kumpulan akan terus memperkukuh pelaksanaan pelan strategik tiga tahun kami iaitu PROGRESS27, selaras dengan pemacu pertumbuhan yang digariskan dalam Belanjawan 2026," katanya.

Bagi sektor perbankan, RHB Bank berkata paras modal dan mudah tunai yang kukuh dijangka dapat menyerap sebarang kejutan pasaran, manakala hala tuju dasar monetari akan bergantung kepada faktor luaran termasuk kesan tarif terhadap Malaysia dan trend penggunaan domestik.

Bank itu berkata prospek ekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, aktiviti pelaburan yang stabil dan dasar domestik yang menyokong pertumbuhan.

“Ekonomi domestik terus menunjukkan ketahanan, dipacu oleh pertumbuhan pelaburan sektor swasta dan awam, pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta pelancaran inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.

“Prospek positif ini disokong oleh komitmen progresif seperti digariskan dalam Belanjawan 2026, yang mengekalkan agenda pertumbuhan dengan pendekatan fiskal mengembang serta langkah bersasar bagi merangsang pelaburan, penggunaan dan daya saing perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA