BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 
Ad Banner

Mercedes-AMG Petronas Bersedia Untuk transformasi Garaj AI Menjelang Peraturan 2026

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Ketika Formula Satu (F1) melakukan persiapan terhadap satu daripada pemulihan teknikal terbesarnya pada 2026, Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 beralih kepada kecerdasan buatan (AI) untuk menyusun semula operasi garajnya -- dan perubahan ini dipercayai bakal menentukan era seterusnya prestasi perlumbaan hujung minggu itu.

Ketua Operasi dan Pembangunan Teknolgi Maklumat (IT) Steven Riley berkata kerumitan yang meningkat dalam seni bina kereta baharu telah menyebabkan pasukan menilai semula kaedah mereka bentuk, menguji dan membangunkan komponen.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi pasukan itu, peralihan ini telah dilaksanakan sejak dahulu, dengan alatan digital dan realiti terimbuh (AR) membantu jurutera untuk menguruskan bahagian komponen yang semakin rumit yang akan digunakan dalam kereta F1 generasi seterusnya.

Riley berkata analisis data berasaskan AI dijangka membawa satu perubahan operasi terbesar dalam garaj pada tahun hadapan.

“Kita akan mengalami perkembangan besar dalam semua pasukan F1 sepanjang beberapa tahun akan datang dari segi cara mereka mengguna pakai AI untuk menganalisis data, memberikan pemahaman dan mungkin memberi panduan bagaimana kami perlu melaraskan kereta dan kaedah perlumbaan,” katanya pada sesi meja bulat media secara maya dengan TeamViewer baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, langkah ke arah operasi yang lebih digital ini dibangunkan berdasarkan transformasi yang sedang dilaksanakan.

Pada 2021, pasukan itu memeterai kerjasama dengan TeamViewer untuk tempoh lima tahun bagi memperkemas aliran kerja, daripada kilang sehingga ke pusat kawalan pit.

Jabatan yang diketuai oleh Riley itu membina dan menyelenggara rangka kerja IT yang menyokong pasukan dalam tempoh cemerlang dalam sukan ini, dengan memenangi lapan kejuaraan konstruktor berturut-turut bermula 2014 hingga 2021.

Tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dilihat lebih mencabar. Bagaimanapun, semangat mereka tetap sama -- terus menjangkau sempadan,  memburu kelebihan dan membangunkan pasukan untuk kembali melakar kejayaan. 

Riley berkata Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 memanfaatkan TeamViewer untuk meminimumkan masa persediaan dalam ujian dan pembangunan serta memastikan semua rig adalah 100 peratus tepat sebelum ujian bermula.

“Berbanding merujuk panduan binaan dan rekaan di lokasi lain dalam fasiliti, pasukan kami boleh menggunakan AR dalam aliran kerja mereka dan terus melihat bagaimana bahagian itu dipasang.

“Penambahbaikan dalam setiap aspek operasi pasukan menyumbang kepada prestasi yang lebih baik di lokasi terpenting -- iaitu litar perlumbaan,” katanya.

Menurut Riley, peralihan F1 ke arah kejuruteraan berpusat telah mengukuhkan lagi pergantungan terhadap teknologi.

Hanya 60 kakitangan dibenarkan menguruskan kereta di litar manakala 30 jurutera ditempatkan di bilik sokongan perlumbaan di Brackley, yang mencerminkan sistem komunikasi masa nyata yang digunakan di garaj.

Langkah ini melahirkan satu pasukan perlumbaan yang beroperasi merentas benua namun terjalin sebagai satu unit.

Riley menegaskan bahawa peranan rakan teknologi untuk memperkukuh ekosistem kejuruteraan Mercedes memperlihatkan usaha TeamViewer dalam pembangunan AR dan integrasi simulator. Ini merupakan contoh praktikal bagaimana kerjasama dapat meningkatkan prestasi.

Menurutnya Mercedes bekerjasama erat dengan rakan teknologi termasuk TeamViewer untuk membangunkan penyelesaian khas yang menyokong keperluan prestasi pasukan.

Walaupun fasa akhir musim perlumbaan 2025 berlangsung dalam keadaan mencabar, Riley berkata pasukan itu tetap memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan semasa perlumbaan dan pada masa sama mempercepat persiapan untuk menghadapi peraturan pada 2026.

Ketika musim perlumbaan 2025 akan melabuhkan tirai akhir minggu ini di Qatar dan Abu Dhabi pada 5 hingga 7 Disember, (komuniti F1) ‘paddock’ telah mula menumpukan perhatian kepada kempen 2026 yang akan bermula dengan Grand Prix Australia pada 6 hingga 8 Mac dan berakhir di Abu Dhabi pada 4 hingga 6 Disember, merentasi lima benua.

-- BERNAMA