BERITA TERKINI   Sebanyak 299 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial - Fahmi | Sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dijangka dilaksanakan hujung Jun ini - Fahmi | Malaysia, Australia tegaskan semula komitmen untuk memastikan bekalan tenaga stabil dan berdaya tahan - PM Anwar  | Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | 
Ad Banner

PRN Sabah: Pengundi Muda Teruja Kali Pertama Mengundi

KINABATANGAN, 29 Nov (Bernama) -- Pengundi muda di Sabah tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini, lebih-lebih lagi ada antaranya yang mengundi buat kali pertama selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.

Walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2022 menyaksikan pelaksanaan pertama Undi18, pengundi di Sabah ketika itu hanya mengundi untuk kerusi Parlimen memandangkan PRN telah diadakan lebih awal, iaitu pada 2020.

Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, di sini mendapati ramai pengundi muda hadir awal untuk memastikan mereka juga tidak terlepas memangkah calon pilihan buat kali pertama.

Ad Banner

Siti Syafikah Gem@Gemrus, 18, mengakui berasa begitu berdebar ketika tiba di saluran mengundi kerana PRN kali ini ialah pengalaman pertamanya untuk bersama-sama rakyat Sabah menentukan hala tuju negeri bagi lima tahun akan datang.

“Saya berharap satu undi daripada saya hari ini mampu menyumbang kepada pembangunan berterusan di Sabah,” kata pekerja pasar raya itu kepada Bernama.

Muhammad Noh Ibrahim, 18, dari Kampung Danau Ria pula teruja dan berharap undi pertamanya itu dapat mendorong pembangunan lebih pesat di kawasan Kinabatangan, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ad Banner
Ad Banner

Dia turut menyuarakan harapan agar kerajaan baharu dapat menarik lebih banyak industri ke kawasan itu, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada penduduk tempatan.

Di TAWAU, Auni Raihah Ruji, 18, iaitu anak kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai Datuk Ruji Ubi merupakan antara pengundi muda yang menunaikan haknya di kawasan itu.

"Tanggungjawab sebagai pengundi penting dalam menentukan masa depan Sabah dan Malaysia," katanya.

Mohd Hilmi Bahrun, 20, dari kawasan sama pula berharap kerajaan yang dibentuk selepas PRN ke-17 akan merangka lebih banyak inisiatif yang memberikan manfaat langsung, khususnya kepada belia Sabah.

"Ramai belia Sabah terpaksa keluar negeri mencari pekerjaan, atau tiada peluang untuk berkembang lebih baik, saya harap wakil rakyat Merotai ini boleh mencari atau menyediakan platform untuk anak muda kampung lebih maju dan berpendapatan," katanya.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA