BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 
Ad Banner

Malaysia Brand Day 2026 Siap Sedia Pamer Jenama Tempatan, Tarik Pelabur Asing

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Malaysia Brand Day 2026 yang julung kali diadakan dijangka menjadi platform utama untuk menarik pelabur asing serta memudahkan peluang pembiayaan bagi jenama tempatan Malaysia, kata penganjurnya Brand Day (M) Sdn Bhd.

Pengarahnya Carrie Ee berkata program ini akan menghimpunkan pelabur serta pembeli antarabangsa bagi menyokong pengembangan perniagaan dan kesiapsiagaan eksport sekali gus memposisikan jenama Malaysia untuk berkembang melangkaui pasaran tempatan.

"Kami mahu seluruh ekosistem (jenama) bersatu. Kami ingin mempamerkan jenama-jenama ini dan memberikan mereka platform untuk terkenal supaya orang ramai mengenali syarikat-syarikat ini," katanya pada sidang media Malaysia Brand Day 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ee berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyokong acara ini dengan membawa masuk 20 pembeli premium dari ASEAN dan China bagi tujuan padanan pelaburan serta eksport untuk pempamer.

"Kami ingin membantu jenama tempatan yang berminat untuk membawa jenama mereka keluar dari Malaysia contohnya ke China, Thailand atau Indonesia dan sekarang MATRADE sedang membantu kami untuk mengaturkan perkara tersebut selain kami menyasarkan 20 pembeli dari ASEAN dan China," katanya.

Mengenai penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Ee berkata acara ini juga bermatlamat untuk mewujudkan platform bagi pelabur untuk mengakses usahawan PKS muda yang menghasilkan produk Malaysia yang berpotensi berkembang.

Ad Banner
Ad Banner

Edisi pertama pameran Malaysia Brand Day 2026 akan diadakan pada 8 hingga 10 Jan, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan menampilkan jenama tempatan dari 16 industri termasuk Zus Coffee, A Cut Above, Applecrumby, Carlo Rino dan Ogawa.

Program ini merupakan inisiatif yang dicadangkan oleh Persatuan Penjenamaan Malaysia untuk meraikan dan mengangkat jenama Malaysia baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

-- BERNAMA