BERITA TERKINI   Lebih RM7 bilion disalurkan bagi membiayai lebih 11,500 PMKS dan syarikat pemula niaga sejak 2019 - Pengerusi SC | Kerajaan tambah peruntukan RM20 juta, selain RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, menjadikan jumlah peruntukan MyCIF bagi tahun ini sebanyak RM50 juta - Amir Hamzah | SC, Bursa Malaysia memudah cara peralihan syarikat Ekuiti Pendanaan Awam yang mempunyai rekod kutipan dana kukuh untuk disenaraikan di Pasaran LEAP - Amir Hamzah | SC akan memudah cara pemindahan syarikat dari Pasaran LEAP ke ACE dengan memansuhkan keperluan tawaran keluar pada separuh kedua tahun ini - Amir Hamzah | SC, Bursa Malaysia memudah cara peralihan syarikat Ekuiti Pendanaan Ramai yang mempunyai rekod kutipan dana kukuh untuk disenaraikan di Pasaran LEAP - Amir Hamzah | 
Ad Banner

Pemergian Madeline Berma Dirasai Ahli Ekonomi, Alumni UKM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) --  Pemergian penganalisis ekonomi Prof Datuk Dr Madeline Berma hari ini turut dirasai oleh ahli ekonomi dan warga akademik, serta alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita pemergian Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak itu turut dikongsi oleh Pusat Perhubungan Alumni UKM dan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sambil menzahirkan salam takziah, Noor Azlan yang juga bekas Naib Canselor UKM menyifatkan pemergian tokoh berkenaan merupakan satu kehilangan memandangkan mendiang merupakan seorang ahli akademik yang sangat menjiwai perjuangannya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Saya kehilangan seorang sahabat dan sarjana yang memperjuangkan kehidupan insan, khususnya dalam membasmi kemiskinan.

"Besar sumbangannya kepada negara. Mendiang pesara akademia UKM dan juga alumni UKM yang dihormati," kata beliau menerusi hantaran yang dimuat naik kira-kira 2 petang tadi.

Alumni UKM turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Ad Banner
Ad Banner

"Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi dugaan ini," menurut hantaran itu.

Madeline, 67, menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UKM pada 1982 dan kemudiannya menamatkan pengajian Sarjana Sastera di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat pada 1986.

Mendiang kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dari University of Hull, England, pada 1997. 

Madeline menerima penghargaan yang tinggi untuk pengalaman akademiknya selama 35 tahun, malah pernah memegang pelbagai jawatan sepanjang khidmatnya di UKM termasuk memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dari 2011 hingga 2016.

Madeline juga dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2019 dan merupakan Felo Akademi Sains Malaysia dan Felo Kehormat di Institut Masa Depan Malaysia.

Penyelidikan dan penerbitan beliau banyak mengkhusus dalam bidang ekonomi pembangunan merangkumi kemiskinan, ketidaksamaan, pembangunan luar bandar, pembangunan wanita dan masyarakat terpinggir. 

Mendiang juga dianugerahkan dengan Pingat Ahli Bintang Kenyalang (ABK), anugerah khas Wanita Sarawak dalam Pendidikan dan Tokoh Wanita sempena Hari Pekerja (CUEPACS).

-- BERNAMA