BERITA TERKINI   Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | Tiga hingga empat individu akan dipanggil untuk beri kenyataan tentang dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | Ambil iktibar krisis di Timur Tengah, jadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia - PM Anwar | Anggaran 60 peratus ahli KWSP berpotensi capai tahap simpanan asas kira-kira RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030 - Amir Hamzah | Polis telah ambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | 
Ad Banner

Kerajaan Johor-Gotion High-Tech Co.Ltd Muktamadkan Perbincangan Pelaburan Impak Tinggi

JOHOR BAHRU, 3 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor sedang memuktamadkan perbincangan pelaburan berimpak tinggi dengan syarikat teknologi bateri global Gotion High-Tech Co., Ltd bagi penubuhan fasiliti pembuatan bateri litium termaju di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perbincangan itu dibuat susulan lawatan kerja dan pertemuan strategik delegasi Johor bersama pengurusan tertinggi Gotion di Shanghai, China baru-baru ini.

“Pertemuan ini memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan penubuhan fasiliti pembuatan bateri litium termaju di Johor yang bakal meletakkan negeri ini sebagai hab serantau bagi pengeluaran bateri kenderaan elektrik (EV) dan sistem penyimpanan tenaga.

Ad Banner
Ad Banner

"Kerajaan negeri melihat pelaburan itu sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Johor sejajar dengan aspirasi peralihan tenaga hijau dan pembangunan ekonomi mampan," katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata Gotion akan berperanan sebagai peneraju pengeluar peralatan asal (OEM) dan teknologi merangkumi pembuatan pek bateri, integrasi modul serta aktiviti bernilai tinggi dalam rantaian teknologi bateri dan pengurusan tenaga.

Menurutnya ekosistem yang dibangunkan melalui pelaburan ini akan membuka ruang luas kepada industri tempatan untuk berkembang dan bekerjasama dengan pemain global sekali gus meningkatkan keupayaan teknologi serta daya saing industri tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kerajaan negeri yakin kerjasama strategik itu mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor teknologi hijau di rantau ini.

“Insya-Allah, kerjasama ini akan menyokong agenda peralihan tenaga hijau, memperkukuh daya saing ekonomi Johor dan memastikan hasil pembangunan negeri dipulangkan semula kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta masa depan yang lebih mampan,” katanya.

-- BERNAMA