BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

MAG Akan Kendali Lebih 2,400 Penerbangan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) akan mengendalikan lebih 2,400 penerbangan sepanjang tempoh perjalanan sempena Tahun Baharu Cina ini, termasuk sehingga 198 penerbangan tambahan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines dan Firefly.

Dalam kenyataan hari ini, MAG menjelaskan penerbangan itu akan beroperasi antara 11 Feb hingga 23 Feb, 2026, untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat dan lancar ketika kemuncak musim perayaan.

“Dalam tempoh ini, Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 1,498 penerbangan, dengan tambahan 130 penerbangan untuk menyokong peningkatan permintaan perjalanan sempena perayaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sementara itu, syarikat penerbangan sekutu, Firefly, akan mengendalikan sehingga 962 penerbangan antara 13 Feb hingga 23 Feb, 2026, dengan sehingga 68 penerbangan tambahan, sekali gus mengukuhkan lagi kesambungan semasa kemuncak perjalanan perayaan,” tambahnya.

MAG memaklumkan penambahan operasi itu akan menyokong laluan domestik utama untuk pulang ke kampung halaman antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Sepanjang tempoh puncak perayaan Tahun Baharu Cina dari 13 Feb hingga 16 Feb, 2026, Malaysia Airlines dan Firefly juga akan menawarkan tambang bersubsidi sehala termasuk semua dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur.

Ad Banner
Ad Banner

Malaysia Airlines akan menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM569 bagi penerbangan sehala termasuk semua dari Kuala Lumpur ke destinasi termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Sementara itu, Firefly pula akan menawarkan tambang bersubsidi sehingga RM548 termasuk semua bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih di Malaysia Timur, termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu.

-- BERNAMA