BERITA TERKINI   Tiada pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik di Asia Barat - Amir Hamzah | Lebih RM7 bilion disalurkan bagi membiayai lebih 11,500 PMKS dan syarikat pemula niaga sejak 2019 - Pengerusi SC | Kerajaan tambah peruntukan RM20 juta, selain RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, menjadikan jumlah peruntukan MyCIF bagi tahun ini sebanyak RM50 juta - Amir Hamzah | SC, Bursa Malaysia memudah cara peralihan syarikat Ekuiti Pendanaan Awam yang mempunyai rekod kutipan dana kukuh untuk disenaraikan di Pasaran LEAP - Amir Hamzah | SC akan memudah cara pemindahan syarikat dari Pasaran LEAP ke ACE dengan memansuhkan keperluan tawaran keluar pada separuh kedua tahun ini - Amir Hamzah | 
Ad Banner

Negeri Sembilan Mampu Tingkat Pelaburan Cecah RM8 Bilion Tahun Ini - Aminuddin

KUALA PILAH, 14 Jan (Bernama) -- Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan aliran masuk pelaburan sehingga mencecah RM8 bilion menerusi pelbagai sektor tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata keyakinan itu berasaskan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri untuk rakyat menetap, bekerja dan mengisi masa lapang di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Negeri Sembilan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Matlamat utama adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) secara mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama yang berpotensi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Ad Banner
Ad Banner

Aminuddin berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usaha sama dan sinergi kolaborasi antara negeri dalam memacu pelaburan bersasar.

Beliau berkata usaha itu juga sejajar dengan agenda RMK13 yang menyenaraikan pelaburan syarikat kejuruteraan Sweden, Sandvik Equipment di Bandar Sendayan sebagai antara pelaburan bernilai tinggi di Malaysia. 

Aminuddin berkata tumpuan turut diberikan kepada inisiatif pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ) iaitu pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni, budaya dan warisan serta alam semula jadi selaras dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Sementara itu, Menteri Besar juga berkata Bandaraya Seremban kini bergerak ke fasa kedua pembangunan bandar pintar sebagai sebahagian rangka kerja pembangunan bandar yang berdaya huni, berdaya saing dan lestari. 

Beliau berkata fasa itu memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik, keselamatan bandar, perkhidmatan perbandaran serta perancangan guna tanah yang lebih mampan.

"Dalam jangka masa panjang, pembangunan Bandaraya Seremban sebagai bandar pintar akan memberi impak besar kepada negeri ini dari segi daya tarikan pelaburan bernilai tinggi, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran, serta peningkatan kualiti hidup rakyat," katanya.

-- BERNAMA