BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

Flexi Flex Capai Pertumbuhan Selama 12 Tahun, Terus Beri Sumbangan Di Labuan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 16 Jan (Bernama) -- Flexi Flex Group yang memulakan operasi di pulau bebas cukai, Labuan pada 2014 dengan sumber yang terhad tetapi mempunyai tekad yang kuat, kini berkembang menjadi pemain industri dikenali dan diiktiraf di wilayah persekutuan berkenaan.

Kejayaan itu dikongsi syarikat ketika menyambut ulang tahun ke-12 tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutifnya Vijay Sharma berkata pertumbuhan syarikat hidraulik itu dipacu oleh kepercayaan, komitmen selain tumpuan jangka panjang terhadap pembangunan kapasiti termasuk pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan.

"Sepanjang 12 tahun yang lepas, langkah demi langkah, kami mengembangkan keupayaan dan perkhidmatan kami yang membawa kepada beberapa pencapaian utama yang dibanggakan sebagai sebuah pasukan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun syarikat itu di sini hari ini.

Sharma berkata, apabila perniagaan berkembang, Flexi Flex mempelbagaikan perkhidmatan kepada pembaikan kapal, memperoleh kapalnya sendiri serta menubuhkan makmal penentu ukur selain memperkukuhkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh dan boleh dipercayai dalam industri.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata, orang ramai kekal menjadi asas kejayaan syarikat.

Jelasnya, Flexi Flex turut menggajikan lebih daripada 200 rakyat Malaysia yang kesemuanya merupakan kakitangan tempatan.

"Walaupun sebagai entiti asing, kami dengan sengaja membuat keputusan menggajikan 100 peratus kakitangan tempatan kerana kami amat percaya dalam melatih bakat tempatan dan berkembang bersama. Hari ini, kami dapat melihat dengan jelas hasil daripada kepercayaan itu," tambahnya.

Sharma berkata bermula sebagai sebuah syarikat kecil, kini menjadi nama yang diiktiraf di Labuan serta disokong oleh pengiktirafan terkini sebagai satu daripada perusahaan kecil dan sederhana yang berprestasi terbaik di negara ini.

Dalam majlis sambutan tersebut, Flexi Flex juga menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa pegawai kerajaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap sokongan mereka dalam sektor minyak dan gas serta kerjasama dengan syarikat.

Melangkah ke hadapan, Sharma berkata Flexi Flex kekal komited terhadap inovasi, keselamatan, kualiti, dan kerjasama yang kukuh sambil terus memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Labuan dan industri yang lebih luas.

-- BERNAMA